Penduduk Kahang 'berpesta' udang kara pasca banjir

Bernama
Januari 6, 2021 05:19 MYT
Seorang penduduk Batu 28 Kahang menunjukkan udang kara yang dijalanya selepas terlepas dari kolam ternakan berhampiran apabila kawasan terbabit dilanda banjir, ketika tinjauan 6 Jan, 2021. --fotoBERNAMA
KLUANG: Bagi penduduk sekitar Kahang terutamanya Batu 28, di sini, banjir kali ini turut membawa "rezeki terpijak", apabila udang kara muncul dalam jumlah yang banyak sebaik sahaja air mulai surut di beberapa kawasan sekitar sejak beberapa hari lepas.
Seorang penduduk, Mohd Azhar Mashodi berkata udang kara itu dipercayai terlepas dari kolam ternakan berdekatan, dan orang ramai sekitar Kahang mula mengesan kehadiran udang kara itu dalam jumlah yang banyak sejak Ahad lepas.
Beliau berkata ramai penduduk sini sedia maklum bahawa harga udang kara itu cukup tinggi, sehingga boleh mencecah antara RM80 dan RM120 sekilogram.
"Ramai penduduk yang memang sedia maklum dengan keadaan ini, telah bersedia dengan jaring masing-masing walaupun menyedari ada risiko sekiranya berkeliaran di luar ketika banjir ini," katanya ketika ditemui.
Mohd Azhar berkata kemunculan udang kara yang banyak pernah dialami di kawasan berkenaan sebelum ini, iaitu ketika banjir besar pada tahun 2006.
"Saya ketika itu tidak datang ke sini kerana bimbangkan keselamatan kerana air Sungai Kahang yang masih melimpah. Hari ini air sungai mulai surut dan banyak udang serta ikan mulai timbul," katanya.
-- BERNAMA
#banjir #udang kara #Kahang #kolam ternakan #jala #Kluang #Sungai #Sungai Kahang #rezeki terpijak
;