Penduduk Jalan Wawasan, Puchong terkejut depan rumah jadi gaung besar
Bernama
Disember 17, 2023 16:45 MYT
Disember 17, 2023 16:45 MYT
PUCHONG: Seorang penduduk di Jalan Wawasan, di sini, berdepan detik cemas apabila melihat hadapan rumahnya tiba-tiba menjadi gaung besar, berikutan kejadian tanah runtuh di kawasan itu.
Mencerita detik semas itu, Abd Rahim Md Ali, 72, berkata beliau dan anggota keluarganya bergegas keluar dari rumah apabila terdengar bunyi kuat seperti pokok yang patah, dan sebaik pintu dibuka, mereka tergamam apabila mendapati hadapan rumah mereka telah menjadi seperti gaung.
"Lebih mengejutkan jalan di hadapan rumah saya juga sudah runtuh dan kereta Honda City yang di parkir tepi jalan turut kelihatan terjunam dalam gaung," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari.
Menurutnya, sebelum kejadian itu berlaku beliau sedang bersiap untuk menunaikan solat Maghrib bersama keluarga dan terdengar jeritan beberapa jiran sebelah rumah yang melihat kejadian itu dan suasana menjadi agak panik.
"Selang beberapa minit kemudian pasukan bomba dan polis tiba di lokasi kejadian dan meminta kami mengosongkan rumah buat sementara atas faktor keselamatan," katanya dan menambah beliau dan keluarganya kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya.
Seorang lagi penduduk, Tung Ei Lee, 42, berkata kejadian itu merupakan pertama kali berlaku sejak puluhan tahun beliau tinggal di situ.
"Sewaktu kejadian saya sedang mengemas rumah, apabila tiba-tiba jiran sebelah rumah datang ketuk pintu beritahu ada tanah runtuh. Saya meluru keluar dan lihat banyak ranting pokok jatuh, saya segera menyelamatkan beberapa dokumen penting dan meninggalkan rumah," katanya yang kini menetap di rumah adik-beradik.
Semalam, 29 penghuni sembilan rumah teres di Taman Wawasan Puchong, diarah berpindah atas faktor keselamatan, susulan kejadian tanah runtuh berhampiran kediaman mereka.
Sementara itu, Ahli Parlimen Subang Wong Chen ketika ditemui pemberita di tempat kejadian berkata penduduk yang terlibat boleh datang ke pejabat Ahli Parlimen untuk mendapatkan bantuan RM1,000 esok bermula 10 pagi.
"Kalau boleh minggu depan kita tambah lagi, kerana kerja-kerja pembaikan ini mungkin memakan masa dua minggu. Jadi kita sediakan sedikit peruntukan memadai untuk mereka pergi hotel dahulu," katanya.
-- BERNAMA