Penduduk Hulu Terengganu kecewa tindakan wakil rakyat Ajil keluar UMNO
Bernama
Mei 13, 2014 19:31 MYT
Mei 13, 2014 19:31 MYT
Lebih 50 penduduk kampung di sini yang majoritinya anggota UMNO Hulu Terengganu meluahkan rasa kecewa dengan tindakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ghazali Taib, 52, keluar UMNO.
Mereka berkumpul berhampiran kediaman wakil rakyat berkenaan petang ini dengan membawa sepanduk sebagai tanda kecewa dengan tindakan pemimpin itu.
Seorang penduduk kampung, Mohd Wahid Ngah, 53, berkata perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku dan ADUN berkenaan perlu akur dan patuh pada keputusan pucuk pimpinan parti.
Katanya mereka sebagai penyokong setia UMNO sanggup mengorbankan masa, tenaga dan sebagainya bagi memastikan Barisan Nasional (BN) terus kekal memerintah di Terengganu khusus di kawasan mereka sendiri.
"Saya amat kecewa dengan tindakan wakil rakyat (Ghazali) di kawasan ini, kami sanggup memberikan sokongan padu dan kepercayaan kepada beliau untuk membela dan melakukan perubahan di sini namun tindakan sedemikian yang dilakukannya," katanya kepada Bernama.
Bekas Ketua UMNO Cawangan Kampung Jak, Saad Mustafa, 52, menyifatkan tindakan Ghazali itu sebagai bukti beliau bukannya anggota UMNO yang sejati.
"Bagi saya dia bukan seorang ahli parti yang setia, jika tidak dia tidak akan melakukan keputusan yang terburu-buru tanpa memikirkan kesan di sebalik semua keputusan tersebut dan langsung tidak menghargai sumbangan ahli parti yang lain," katanya.
Naib Ketua Pemuda UMNO Cawangan Menerong, Mohd Faizal Mustapa, 30, berharap kemelut itu dapat diselesaikan dengan cara terbaik dan berhemah.
"Kami masih mengharapkan jawapan dan status kedudukan sebenar ADUN berkenaan dengan melepaskan jawatan tersebut...mereka juga berharap UMNO pusat serta negeri dapat menyelesaikan kemelut ini dengan secepat mungkin," katanya.
Ghazali juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas negeri.
Pada pilihan raya umum ke-13 Mei tahun lalu Ghazali menewaskan Mohd Razki Yah Alias (PAS) dengan majoriti 2,782 undi.
Selain Ghazali, bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said (ADUN Kijal) dan Roslee Daud (ADUN Bukit Besi) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri turut mengisytiharkan keluar UMNO dan menjadi ADUN Bebas.