Penduduk Hulu Dungun lega laluan utama siap dibaik pulih
Wan Zuratikah Iffah Wan Zulkifli
November 8, 2021 11:47 MYT
November 8, 2021 11:47 MYT
DUNGUN: Penduduk di kawasan Hulu Dungun, Terengganu, menarik nafas lega apabila laluan utama Kampung Jongok Batu yang runtuh akibat banjir dua tahun lalu telah dibaik pulih sepenuhnya.
Pembukaan kembali laluan sepanjang kira-kira 500 meter itu sekali gus menyelesaikan masalah terputus hubungan di antara kampung yang terlibat banjir.
Menurut penduduk, ia turut memudahkan pasukan penyelamat untuk membantu mangsa banjir serta menghantar bantuan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
"Kami sebagai penduduk di sini, dengan siapnya jalan itu, berasa amat bertuah dan amat gembira.
"Kalau tahun lepas pada musim banjir, menyebabkan kami terpaksa melalui jalan dalam yang sempit dan kalau bertembung dua buah kereta, terpaksa ke tepi, makna sempit sangat jalan.
"Jadi dengan siapnya jalan itu, kami sebagai penduduk kampung amat rasa bertuah," kata imam Kampung Jongok Batu, Atan Ghani.
Bagi juruteknik, Alias Ismail biasanya ketika musim tengkujuh pada bulan November dan Disember setiap tahun, laluan dari Kuala Jengai ke Jongok Batu sehingga ke Jerangau Sungai tidak dapat dilalui akibat jalan ditenggelami air.
"Kebiasaannya kalau pantai timur ini, ketika bulan 11 dan bulan 12 laluan Kuala Jengai ke Jongok Batu sampailah ke Jerangau Sungai memang tidak boleh lalu. Semua jalan banyak ditenggelami air," katanya.
Menurutnya, lapan buah kampung di Hulu Dungun berisiko terputus hubungan setiap kali berlaku kejadian tanah runtuh serta kerosakan jalan akibat banjir.