Penduduk harap cadangan projek kuari di Gunung Baling dan Gunung Pulai tidak diteruskan

Adie Sufian Zulkefli
Jun 12, 2023 18:23 MYT
Antara penduduk yang hadir pada bantahan cadangan projek kuari berkenaan di kaki Gunung Pulai, pada Isnin. - Foto Astro AWANI
BALING: Penduduk di sekitar Gunung Baling dan Gunung Pulai di sini hari ini memohon agar kerajaan negeri dapat memberi jawapan telus mengenai status cadangan projek kuari di dua gunung berkenaan, sama ada sudah dibatalkan atau sekadar ditangguhkan.
Rata-rata penduduk menyatakan kebimbangan mengenai projek itu kerana mendakwa sekiranya diteruskan akan memberi kesan buruk kepada penduduk termasuk menjejaskan kesihatan mereka.
Penasihat Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS), Mohd Sobri Ramlee berkata, ini kerana jarak tapak cadangan kuari dari penempatan penduduk hanya sekitar 150 meter dari Gunung Pulai manakala 990 meter dari Gunung Baling.
Katanya, pihaknya sangat berharap Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dapat membatalkan terus projek itu sebelum habis penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak lama lagi.
Aktivis alam sekitar itu berkata, pihaknya sudah membuat 12 kali bantahan sejak 2018 dan tiga kali memorandum bantahan dihantar kepada pejabat Menteri Besar namun tidak mendapat sebarang jawapan bertulis.
"MB Sanusi pun pernah sampai ke sini, jadi beliau sudah faham, arif apa yang akan berlaku jadi kita berharap dengan kefahaman beliau apa sahaja maklumat yang beliau ada, dia batalkan terus kerana dia adalah exco hasil bumi di Kedah.
"Makluman semua, pada 2021 ada kerja-kerja awal telah dilakukan oleh pihak kontraktor dengan menebuk kaki gunung Baling untuk diletakkan bahan letupan pada mesin-mesin semua. Pada waktu itu kita bantah kerana berdasarkan EIA dan apa yang kita bantah, projek itu ditangguhkan sahaja sehingga kini, itu MB sudah maklum.
"Sepatutnya MB boleh bantu kita penduduk semua untuk batalkan terus, dah tiga tahun habis penggal. Kita harap sebelum habis penggal ini harap beliau batalkan terus cadangan kuari," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media berkaitan bantahan projek berkenaan bersama penduduk di kaki Gunung Pulai, pada Isnin.
Mohd Sobri berkata sekiranya projek itu diteruskan selepas ini, ia akan memberi kesan kepada kualiti udara selain menyebabkan pelbagai penyakit akibat daripada habuk letupan dan kerja-kerja kuari.
Selain itu katanya, ia turut akan menjejaskan sumber air mentah penduduk berikutan kualiti air Sungai Ketil yang terletak hanya 100 meter dari tapak cadangan projek dan dibimbangi akan tercemar berpunca daripada kerja-kerja tanah, sisa hancuran batu kapur dan diesel.
Paling membimbangkan penduduk ia akan menjejaskan sumber pengairan sawah padi yang terletak di hilir Sungai Ketil.
Sementara itu, Pengerusi Badan Bertindak Bantahan Kuari di dua gunung berkenaan, Kamaruddin Zakaria, 57, berkata, pihaknya membantah sekeras-kerasnya projek kuari di dua gunung berkenaan berikutan ia dilihat hanya menguntungkan sebelah pihak sahaja dan mendatangkan mudarat kepada penduduk.
Katanya, kira-kira hampir 2,000 penduduk di kaki Gunung Pulai terutama di Kampung Padang Che Mas akan terjejas terutama bagi mereka yang menjadikan kawasan itu sebagai sumber pendapatan bagi menyara keluarga.
"Sekiranya terjadi kuari di sini sumber pendapatan orang kampung seperti menoreh getah, dusun buah-buahan akan terhakis disebabkan debu-debu berterbangan yang boleh menjejaskan sumber pendapatan, mengurangkan hasil pengeluaran getah, hasil pengeluran dusun.
"Secara automatik berkurang pendapatan penduduk kampung. Juga, (dikhuatiri) bencana lain seperti banjir kilat, debu-debu, pencemaran mengganggu kesejahteraan penduduk terutama kesihatan," katanya.
#projek kuari #Gunung Baling #Muhammad Sanusi Md Nor #Gunung Pulai
;