Penduduk Gugusan Felda Lok Heng tarik nafas lega dapat bekalan air

Astro Awani
Mac 26, 2020 19:34 MYT
Gangguan bekalan air itu sedikit sebanyak menyukarkan aktiviti harian penduduk susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Lebih 1,000 Penduduk Gugusan Felda Lok Heng menarik nafas lega apabila Syarikat Air Johor (SAJ) menghantar bekalan air menggunakan sebuah lori tangki pada Khamis.
Lori tangki yang dihantar ke kawasan itu kira-kira pukul 12 tengah hari ini.
Menurut salah seorang penduduk, Siti Norshadah Masri, 50 tahun, gangguan air berlaku di kawasan tempat tinggal mereka sejak Isnin lalu ekoran loji takungan air bersih yang menjadi sumber bekalan berada di bawah paras bekalan.
"Sepanjang tempoh ini, penduduk kampung terpaksa mencatu air dan mengharapkan simpanan air sedia ada.
"Hari ini, semua boleh menarik nafas lega apabila SAJ datang menyalurkan bekalan air bersih ke kawasan kami," katanya kepada Astro AWANI hari ini.
Gangguan bekalan air itu sedikit sebanyak menyukarkan aktiviti harian penduduk susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Selain itu, jurucakap SAJ berkata, pihaknya menyarankan penduduk supaya menghubungi syarikat di talian 1800887474 atau sms (Type : AT RanhillSAJ ( aduan,dan alamat penuh ) hantar ke 63001) jika mengalami sebarang gangguan bekalan.
#bekalan air #gangguan bekalan air #Gugusan Felda Lok Heng #Kota Tinggi #SAJ #Syarikat Air Johor
;