Penduduk gempar lihat kejadian buaya baham seekor anjing

Ridzal Abdullah
November 22, 2019 19:03 MYT
Reptilia itu sudah pun kelihatan berlegar-legar di perairan pantai terbabit namun tidak naik ke darat. - Foto ihsan pembaca/media sosial
Gempar dan mencemaskan. Itu reaksi penduduk selepas melihat seekor buaya membaham seekor anjing dengan mudah dalam satu kejadian di Pantai Felda Sahabat 16, di sini, pada Khamis.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 10.45 pagi itu tular apabila video mengenainya dimuat naik menerusi laman sosial Facebook dan WhatsApp.
Kemunculan buaya berkenaan turut disahkan Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Augustine Tuuga.
Menurutnya, sebelum kejadian tersebut, reptilia itu sudah pun kelihatan berlegar-legar di perairan pantai terbabit namun tidak naik ke darat.
“Pada jam 10.45 pagi, buaya itu telah menerkam seekor anjing yang berada berhampiran pantai tersebut.
“Namun, kejadian itu tidak menyebabkan kemalangan jiwa atau pun mana-mana individu cedera,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Jumaat.
Menurutnya, pihak JHL Sabah sudah mengenal pasti lokasi persembunyian haiwan berkenaan.
“Selepas membuat pemeriksaan, didapati buaya itu menjadikan satu kawasan muara sebagai lokasi persembunyian.
“Justeru, pihak kami sudah memasang perangkap buaya bagi menangkap haiwan terbabit,” kata beliau.
Menurutnya lagi, buaya itu sudah seringkali kelihatan di pantai itu dan lokasi terbabit sudah dipasang dengan papan tanda amaran berhubung kehadiran buaya.
Tambahnya, orang ramai turut dinasihatkan supaya berhati-hati sekiranya berkunjung ke lokasi terbabit.
#Augustine Tuuga #buaya baham anjing #Jabatan Hidupan Liar #JHL Sabah #Pantai Felda Sahabat #tular di media sosial
;