Penduduk Gambang Damai harap bantuan kerajaan Pahang

Bernama
Jun 12, 2023 13:40 MYT
Meskipun lebih dua tahun bencana berlaku, masih menjadi tanda tanya buat lebih 10 pemilik rumah mengenai tindakan susulan pihak berwajib berkenaan tahap keselamatan untuk mereka mendiami semula kediaman masing-masing. -Gambar fail
KUANTAN: Ibarat projek rumah terbengkalai. Itu dapat digambarkan sebaik melihat keadaan deretan rumah di Lorong Gambang Damai 29, di sini yang tidak berpenghuni sejak dua tahun lepas akibat beberapa kediaman terjejas dalam kejadian tanah runtuh.
Meskipun lebih dua tahun bencana alam itu berlaku, masih menjadi tanda tanya buat lebih 10 pemilik rumah di situ mengenai tindakan susulan daripada pihak berwajib berkenaan tahap keselamatan untuk mereka mendiami semula kediaman masing-masing.
Pengerusi Persatuan Penduduk Gambang Damai (Desa Hijauan) Norazen Md Dadi berkata kira-kira 20 kediaman terjejas selepas insiden berkenaan namun difahamkan hanya enam unit rumah yang rosak mendapat kediaman ganti baharu daripada pemaju.
Beliau berkata status rumah penduduk lain masih 'tergantung' dan rata-rata mereka inginkan kepastian mengenai keselamatan rumah jenis berkembar yang dibeli dengan harga lebih RM258,000 sejak 2016 itu.
"Penduduk di lorong ini telah diminta mengosongkan rumah pada hari kejadian atas faktor keselamatan dan sehingga kini terdapat penduduk menyewa di rumah lain kerana bimbang dengan keadaan rumah di sini yang terdapat kesan retak.
"Kami perlukan kata putus sama ada rumah itu boleh diduduki atau tidak dan kami terbuka untuk berbincang bersama pihak terlibat serta berharap campur tangan kerajaan negeri dalam menyelesaikan isu ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kawasan perumahan itu di sini, semalam.
Seorang lagi pemilik, Md Nasri Yusuff, 44, berkata penduduk terpaksa menanggung komitmen bulanan yang tinggi kerana perlu membayar sewa rumah dan pinjaman bulanan selain bayaran cukai taksiran masih dikenakan.
"Saya harap pihak berwajib ambil tindakan sewajarnya kerana hampir tiga tahun kami duduk menyewa di tempat lain...moratorium yang diberikan sebelum ini setahun, dan selepas itu kami terpakasa membayar komitmen dua rumah," katanya.
Roslina Ahmad Said, 39, berharap rumah ganti diberikan iaitu sebuah rumah dijangka siap pada September kelak setimpal dengan harga kediamannya di Gambang Damai yang dibeli hampir RM300,000.
"Difahamkan harga rumah ganti lebih rendah daripada rumah ini, saya hanya harapkan ganti rugi yang setimpal kerana masih perlu menanggung bayaran bulanan rumah sekarang iaitu RM1,400 manakala rumah sewa RM500," katanya.
Pada 5 Jan 2021, dua buah rumah dilaporkan runtuh dipercayai akibat pergerakan tanah kesan daripada hujan berterusan sekitar 3.40 pagi, bagaimanapun, insiden itu tidak menyebabkan kemalangan jiwa kerana penghuninya telah keluar daripada rumah tersebut lebih awal.
Tinjauan Bernama di lokasi berkenaan pula mendapati rumah runtuh tersebut masih belum dibersihkan selain kediaman penduduk berhampiran yang telah mengosongkan rumah dipenuhi sampah sarap dan semak samun.
Sementara itu, Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Mohd Shahar Abdullah ketika dihubungi berkata beliau telah mengangkat isu tersebut kepada pengetahuan kerajaan negeri dengan memaklumkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang Datuk Seri Johari Harun untuk tindakan sewajarnya.
-- BERNAMA
#tanah runtuh #Lorong Gambang Damai 29 #Desa Hijauan #rumah rosak
;