Penduduk Fresia Apartment kecewa sikap tidak endah JMB

Bernama
April 12, 2018 12:30 MYT
Penduduk mendakwa mereka terpaksa menggunakan wang sendiri untuk membaiki kerosakkan jalan di kawasan sekitar.
Jalan berlubang serta tangki air yang sering rosak kerana tidak diselenggara oleh Badan Pengurusan Bersama (JMB) kini menjadi masalah yang membelenggu penduduk di Fresia Apartment, Taman Lembah Maju di sini.
Selain jalan berlubang dan tangki air rosak, apartmen dengan 600 unit rumah itu turut mengalami keadaan lif yang sering rosak sehingga mengundang masalah kepada golongan kurang upaya dan warga emas.
Warga emas Richard Yong, 73 tahun, berkata penduduk terpaksa menggunakan wang sendiri untuk membaiki kerosakan jalan kerana sering berlaku kemalangan melibatkan warga emas dan kanak-kanak yang terjatuh akibat jalan berlubang.
"JMB tidak mahu bertanggungjawab membaiki kerosakan jalan kerana mendakwa tidak menerima bayaran penyelenggaraan sebanyak RM72 daripada setiap unit apartmen itu.
"Walaupun sudah membuat pelbagai aduan sejak dua tahun lalu, namun masalah kami tidak diendahkan dan akhirnya kami menguruskannya sendiri dengan menggunakan wang kami," katanya.
Pemilik restoran Ann Pong, 53 tahun, berkata sikap JMB yang tidak mengendahkan kebajikan penghuni apartmen itu menyebabkan sesetengah daripada penghuni tidak mahu membayar kos penyelenggaraan bulanan.
"Sejak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) melantik JMB baharu sejak tahun lepas, banyak alasan yang diberikan oleh JMB kepada kami apabila menbuat aduan, antaranya terpaksa menanggung bil air tertunggak sebanyak RM40,000 dan bil elektrik sebanyak RM300,000 daripada JMB sebelum ini.
"JMB sebelum ini didapati menyalahgunakan wang penyelenggaraan daripada penduduk menyebabkan kami terpaksa membuat laporan polis dua tahun lalu dan MPAJ melantik JMB baharu," katanya.
Pong turut mendakwa segala aktiviti ataupun pengumuman yang dibuat oleh JMB baharu itu tidak dimaklumkan kepada penghuni-penghuni.
"Misalnya, mereka mendakwa telah mengadakan mesyuarat agung dan taklimat khas kepada penghuni-penghuni pangsapuri tetapi kami tidak dimaklumkan mengenai perkara itu.
"Mereka seharusnya memberitahu kepada semua penghuni dengan menampal notis pintu ke pintu ataupun tampal di papan kenyataan namun kedua-dua ini tidak dilakukan oleh mereka," katanya.
Sementara itu, Ketua MCA Bahagian Pandan, Datuk Leong Kok Hwei berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pihak JMB berhubung permasalahan penghuni Fresia Apartment terhadap kemudahan mereka.
"Berdasarkan Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2007 (Akta 663) adalah menjadi tanggungjawab badan tersebut untuk menjaga kawasan itu dengan baik.
"JMB diberi amanah untuk kutip dana dan upah pekerja menguruskan bangunan, jadi ahli jawatankuasa perlu guna dana tersebut dengan cara betul dan bertanggungjawab," katanya.
-- BERNAMA
#apartmen #Badan Pengurusan Bersama #bangunan #Fresia Apartment #JMB #Majlis Perbandaran Ampang Jaya #MPAJ #Taman Lembah Maju
;