Penduduk flat Desa Tun Razak risau keselamatan lif
Bernama
Julai 18, 2013 11:35 MYT
Julai 18, 2013 11:35 MYT
Insiden murid tahun lima maut setelah tersepit dalam lif yang rosak di Perumahan Awam Desa Tun Razak di sini Rabu, meresahkan penduduk mengenai tahap keselamatan lif yang kerap rosak walaupun dibaiki.
Fuad Aziz, 49, yang sudah lima tahun tinggal di flat berkenaan berkata lif itu baru saja dibuka untuk operasi pada Selasa selepas ditutup sejak Sabtu lepas akibat rosak.
"Sabtu lalu, lif tersebut telah jatuh dari tingkat lima ke tingkat satu namun tiada yang cedera dan kami terus membuat laporan tentang kejadian itu kepada pihak penyelenggaraan perumahan kami," katanya kepada Bernama di perumahan tersebut.
Beliau yang tinggal di tingkat 11 mendakwa pihak penyelenggaraan hanya baiki dan tiada pemeriksaan secara menyeluruh bagi semua lif di kawasan itu.
Kawasan perumahan itu mempunyai empat blok dengan setiap blok mempunyai tiga lif. Setiap blok setinggi 21 tingkat.
Khairul Amir Azri Lani, 11, pelajar Tahun Lima Sekolah Kebangasaan Bandar Tasik Selatan maut selepas tersepit di lif ketika cuba keluar apabila lif terperangkap di antara dua tingkat di perumahan tersebut, kira-kira pukul 12.50 tengah hari semalam.
"Mereka ada datang baiki empat hingga lima kali sebulan tapi masalah lif ini tidak selesai juga dan saya hairan kenapa lif di sini cepat rosak sedangkan ia selalu dibaiki. Malahan, alat pengesan (sensor) rosak dan tidak berfungsi," kata Fuad.
Mohamad Norizam Suder, 29, seorang peniaga yang tinggal di tingkat enam berkata kejadian lif yang sering rosak menyusahkan penghuni.
"Sukar bagi saya untuk bergerak membawa barang-barang niaga yang banyak turun ke bawah dan setiap kali lif rosak, saya terpaksa mengggunakan tangga," katanya yang sudah dua tahun tinggal di situ.
Beliau berkata pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kontraktor atau mana-mana pihak bertanggungjawab perlu mengambil berat isu ini kerana ia telah menyebabkan kematian.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Komuniti Sosial DBKL, Wan Mohd Ghazali Nor Tengku Adnan menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa bagi meringankan beban mereka di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) petang semalam.
Tinjauan Bernama mendapati ketiga-tiga lif di blok kejadian berlaku dihentikan perkhidmatan buat sementara waktu.