Penduduk Felda Cherul rayu dibekalkan van jenazah

Wan Zuratikah Iffah Wan Zulkifli
Oktober 27, 2021 06:12 MYT
Kata penduduk, mereka terpaksa berdepan ketiadaan van jenazah sejak 35 tahun yang lalu. - Astro AWANI
KEMAMAN: Terpaksa menggunakan lori mengangkut buah kelapa sawit dan pacuan empat roda untuk membawa jenazah ke tanah perkuburan.
Itu yang dilalui penduduk Felda Cherul 1 dan Felda Cherul 2, di Kemaman, Terengganu sejak 35 tahun lalu berikutan ketiadaan van jenazah
Menurut ketua peneroka, Manap Jusoh, pihak pengurusan masjid pernah memohon sumbangan van jenazah daripada pelbagai pihak, namun masih tiada maklum balas positif.
"Apabila sahaja berlaku kematian, kita perlulah menyediakan kenderaan yang baik, bukan kata lori itu tidak baik tetapi lori ini lori yang biasanya digunakan untuk kerja-kerja ladang, isi tuai buah dan batu-bata sebagainya.
"Jadi kita guna kenderaan milik jenazah, akhir sudah nyawa dia itu, akhir sudah jasad dia, kita guna lagi lori," katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Felda Cherul 1, Ghazali Khazani berkata, oleh kerana panjang keranda melebihi kenderaan yang membawanya itu, perjalanan membawa jenazah ke tanah perkuburan terpaksa dilakukan secara berhati-hati.
"Perjalanan jenazah ke tanah perkuburan itu amat berhati-hati, menggunakan Hilux, kerana apabila keranda diisi di atas Hilux itu, pintu belakang tidak boleh ditutup, maknanya dalam keadaan berhati-hati dan perjalanannya perlahan," katanya.
Bagi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Felda Cherul 2, Mad Zaid Jusoh pula, keadaan ini boleh mengundang bahaya.
"Bahaya itu, kalau kira memang bahaya, kalau tidak ada tampungan daripada orang yang duduk di atas itu memang bahayalah, boleh tergelincir.
"Jadi apabila kita telah angkat jenazah, orang harus berada di atas itu, masing-masing berpakat pegang dan harus beringat kerana takut keranda tergelincir ke bawah," katanya.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri, Hanafiah Mat ketika dihubungi berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan bersama wakil peneroka serta pemimpin setempat untuk mencari jalan penyelesaian.
#jenazah #van #Lori #Felda
;