Penduduk diancam gajah liar sejak tiga bulan lepas

Bernama
Disember 7, 2023 20:50 MYT
Penduduk di Kampung Sungai Bayu Dalam mendakwa gajah liar mula muncul di penempatan itu sejak tiga bulan lepas. - Gambar Bernama
GUA MUSANG: Penduduk di Kampung Sungai Bayu Dalam, di sini mendakwa gajah liar mula muncul di penempatan itu sejak tiga bulan lepas.
Seorang penduduk Che Hussain @ Che Ahmad Che Kob, 75, berkata beliau ternampak seekor gajah liar dewasa sedang mandi di dalam kolam ikan peliharaannya.
"Selain mandi, gajah itu juga telah merosakkan tebing kolam dan jaring ikan. Saya tidak pasti adakah ia gajah yang sama tetapi tetap bimbang kerana percaya gajah itu masih bebas berkeliaran di kawasan ladang dan hutan berhampiran kampung.
"Saya terkejut mendengar khabar seorang pekerja warga Indonesia maut selepas mengalami kecederaan organ dalaman yang teruk akibat diserang gajah liar yang mengamuk," katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.
Che Hussain berkata susulan kematian seorang pekerja ladang warga Indonesia yang diserang gajah liar di ladang getah Division B5, Ladang Upayapadu, Isnin lalu, penduduk kini bimbang untuk melakukan aktiviti harian mereka kerana kampung itu hanya terletak kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.
Turut senada Mek Som Awang, 73, yang mendakwa pernah beberapa kali diancam mamalia tersebut di kawasan rumahnya sebelum ini.
Mek Som berkata beliau khuatir sekiranya haiwan tersebut terus bertindak agresif sehingga memudaratkan keselamatan penduduk sekitar.
"Sebelum ini ada seekor gajah besar kerap datang menghampiri rumah dan mencabut anak-anak pokok yang ditanam termasuk mencabut ubi kayu yang ditanam. Penduduk lain juga mengalami kerugian selepas tanaman mereka seperti pisang, ubi kayu dan pokok buah-buahan dirosakkan gajah liar.
"Kami berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat menangkap dan memindahkan gajah liar ini kerana boleh mengancam nyawa dan merosakkan hasil tanaman kami," katanya.
Sementara itu, Ketua Jajahan Gua Musang Nik Raisnan Daud menasihatkan orang awam untuk tidak mengadakan aktiviti rekreasi luar dan tidak mengadakan konvoi bermotor di kawasan berisiko.
"Kami minta rakyat berhati-hati dan mengehadkan dulu aktiviti di kawasan berisiko ancaman haiwan liar seperti aktiviti menoreh getah, bekerja di ladang kelapa sawit, mencari ikan di sungai dan aktiviti mencari hasil hutan.
"Kumpulan kenderaan lasak pacuan empat roda 4x4 juga perlu mendapatkan kebenaran dan nasihat daripada pihak polis, Pejabat Hutan dan Perhilitan sebelum masuk ke kawasan hutan," katanya.
*Untuk berita terkini, ikuti kami di WhatsApp Astro AWANI
#Gua Musang #gajar liar #ancaman penduduk #Kampung Sungai Bayu Dalam
;