Penduduk di lokasi berisiko banjir diminta siap sedia berpindah awal - Bomba
Bernama
November 7, 2023 17:16 MYT
November 7, 2023 17:16 MYT
KUANTAN: Penduduk yang menetap di lokasi berisiko banjir dinasihatkan supaya bersiap sedia untuk berpindah awal sebagai langkah keselamatan, kata Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin.
Beliau turut mengingatkan agar mereka membawa bersama dokumen penting dan barangan keperluan asas ketika meninggalkan rumah masing-masing.
"Sekiranya keluarga yang ada kanak-kanak, ibu mengandung, individu yang kurang sihat sama ada serius atau tidak, mereka ini memang wajib berpindah awal.
"Apa yang kita bimbangkan sekiranya banjir ini meningkat pada waktu malam kerana dari segi operasi menyelamat agak sukar dan berbahaya kerana kita tidak nampak pada jarak jauh sekiranya terdapat sebarang halangan semasa meredah kawasan banjir," katanya.
Justeru, beliau berkata penduduk diharap dapat mengikut nasihat agensi keselamatan dan memberikan kerjasama sekiranya diminta untuk berpindah awal.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2022, Pemakaian Tanda Pangkat dan Jasamu Dikenang Tahun 2023 JBPM Pahang, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah JBPM Pahang Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.
Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan Monsun Timur Laut (MTL) dijangka bermula pada 11 Nov ini dan berterusan hingga Mac 2024, dengan episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan barat Sarawak semasa fasa awal MTL dari Nov hingga Jan tahun depan.
Sementara itu, Abdul Wahab memaklumkan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 Rolling Plan 4 (RMK12 RP4) beberapa balai bomba baharu bakal dibina antaranya di Pahang iaitu di Pulau Tioman, Rompin dan Benta serta Lipis.
-- BERNAMA