Penduduk di Kuala Kemaman enggan berpindah ke PPS walaupun rumah dilanda banjir
Wan Zuratikah Iffah Wan Zulkifli
Januari 4, 2022 05:36 MYT
Januari 4, 2022 05:36 MYT
KEMAMAN: Penduduk di perkampungan nelayan di Kuala Kemaman enggan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) walaupun kediaman mereka dilanda banjir kilat.
Menurut nelayan Awang Muda, 66, mereka tidak bimbang dengan keadaan tersebut ekoran ia telah menjadi kebiasaan kepada penduduk setiap kali musim tengkujuh.
Bagaimanapun katanya, penduduk kampung sentiasa berwaspada dengan mengikuti perkembangan cuaca dari semasa ke semasa bagi mengelak sebarang kejadian buruk.
"Hari itu kena sekali, juga ketika musim banjir dulu. Kita tak tahu sebab kita sedang tidur. Pagi esok kita tengok, kita duduk depan TV, tangan duduk dalam air.
"Kita sudah biasa. Di kampung ini ada kira-kira 80 keluarga, kami semua sudah biasa dengan keadaan ini. Sudah tidak jadi masalah bagi kami," katanya.
Jelasnya fenomena air pasang besar yang berlaku sejak Ahad lalu menyebabkan kediamannya digenangi air sebanyak dua kali walaupun struktur rumah telah dibina lebih tinggi.
Sementara itu peniaga ikan, Adli Mohd Arifin, 48, berkata, kebiasaanya banjir di kawasan berkenaan berlaku dalam tempoh singkat.
Namun penduduk sentiasa peka kepada persekitaran dan perubahan cuaca serta memantau keadaan ombak.
"Kalau buat air besar ini mungkinlah kita akan pindah, sekiranya air naik atas rumah. Setakat ini boleh lagi bertahan, makna belum masuk lagi yang dalam rumah, sekadar bilik air dan dapur sahaja, air masih di paras lutut," katanya.
Pusat Hidrologi Nasional menerusi stesen cerapan di Kemaman meramalkan kedudukan aras laut tertinggi bagi tempoh antara 1 hingga 8 Januari depan dijangka mencecah 3.3 hingga 3.7 meter.
Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri, Hanafiah Mat meminta penduduk yang tinggal di kawasan berisiko agar mematuhi arahan pihak berkuasa serta mendapatkan maklumat yang tepat.