Penduduk di kawasan PKP di Sarawak akan terima bantuan makanan Rabu ini

Nuzuluddin Abdul Razak
Januari 18, 2021 13:23 MYT
Awang Tengah yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kecil Rantaian Bekalan Makanan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, beliau memberi jaminan tidak ada yang akan tercicir daripada menerima bantuan itu. - Gambar Astro AWANI
SIBU: Penduduk di 11 kawasan di Bahagian Sibu yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) akan menerima bantuan makanan, kata Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Menurut Timbalan Ketua Menteri Sarawak itu, penghantaran akan dilaksanakan secara berperingkat mulai Rabu ini iaitu 20 Januari dan melibatkan 73,000 isi rumah dari Sibu, Kanowit dan Selangau.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil Rantaian Bekalan Makanan Sarawak menjelaskan, pihaknya akan bekerjasama dengan 11 agensi berkaitan bagi melancarkan operasi berkenaan. Ini termasuk menyalurkan bantuan buat penduduk di pedalaman.
"Kami akan meminta bantuan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia bagi mengedarkan bantuan makanan kerana terdapat beberapa kawasan yang memerlukan helikopter kerana (akses) bergantung dengan jalan balak dan perlu menaiki perahu," katanya dalam satu sesi sidang media di Wisma Sumber Alam di Kuching pada Isnin.
Tambahnya, ketika ini beliau akan berhubung dengan jawatankuasa di peringkat dasar untuk mengemas kini data berkenaan dengan penduduk yang terjejas agar operasi itu dapat dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.
"Pihak kami juga akan memastikan bahawa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bantuan makanan akan disalurkan kepada mereka yang memerlukan.
"Ini termasuk mereka yang mengharapkan bantuan daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) ataupun Badan Bukan Kerajaan (NGO ) kerana saya tidak mahu ada yang tercicir daripada mendapat bantuan ini," tegasnya.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) dilanjutkan dari 16 hingga 29 Januari 2021 melibatkan daerah Sibu, Kanowit dan Selangau.
Langkah ini diambil susulan peningkatan kes di Bahagian Sibu dan di atas kekhuatiran penularan kes dalam kalangan kontak rapat kluster sedia ada.
#Penyaluran bantuan makanan #penduduk terjejas #COVID-19 #pandemik #Sibu #perintah kawalan pergerakan #Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan #Timbalan Ketua Menteri Sarawak