Penduduk bimbang tanah runtuh berhampiran Taman Sri Perkasa
Abd Razak Mohd Ali
Mei 15, 2022 17:07 MYT
Mei 15, 2022 17:07 MYT
IPOH: Hujan lebat awal pagi ini menyebabkan berlakunya kejadian tanah runtuh melibatkan beberapa buah rumah di sebuah taman perumahan baharu berhampiran Taman Sri Perkasa, dekat sini.
Kejadian itu mencetuskan kebimbangan penduduk di kawasan taman sekitar.
Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Ong mendakwa, mereka pernah membuat aduan kepada pihak terlibat mengenai masalah air hujan yang turun dari projek perumahan baharu itu, namun ia masih berlarutan sehingga sekarang.
"Sudah lebih setahun kami mengadu, tetapi tiada apa-apa tindakan. Setiap kali hujan lebat, pasti ada masalah," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Taman Sri Perkasa, Mejar S Rajah berkata, mereka percaya kejadian tanah runtuh itu berpunca daripada aliran air hujan dari projek perumahan berhampiran.
"Saya sudah duduk di sini 20 tahun, tidak pernah berlaku... bila projek rumah itu naik, itulah puncanya, sebab sistem perparitan dia tidak betul.
“Kami penduduk tidak senang duduk setiap kali hujan lebat kerana bimbang air yang mengalir akan menyebabkan berlaku tanah dan hari ini ia (tanah runtuh) berlaku berhampiran taman kami," ujarnya.
Menurut Rajah, rumah yang terlibat dengan kawasan tanah runtuh itu merupakan rumah baharu dan belum berpenghuni.
Namun, katanya, penduduk Taman Sri Perkasa tetap bimbang kemungkinan ia merebak hingga ke kediaman mereka.