Penduduk bimbang sisa industri berjadual dibuang secara haram di Dungun

Wan Zuratikah Iffah Wan Zulkifli
Disember 8, 2021 07:42 MYT
Kelihatan sebahagian tong sisa industri berjadual yang didakwa dibuang secara haram berdekatan sebatang jalan raya di Paka, Dungun. - Astro AWANI
DUNGUN: Puluhan tong sisa industri berjadual yang didakwa dibuang secara haram sehingga menutup sebahagian jalan raya di kawasan industri di Paka, dekat sini, menimbulkan kerisauan penduduk.
Sisa tersebut dipercayai dibuang sejak beberapa hari lalu dan kejadian itu masih berterusan sehingga kini.
Penduduk yang ditemui menyuarakan kebimbangan, kegiatan itu boleh memudaratkan kesihatan orang ramai berikutan terdapat kawasan tadahan air yang terletak di lokasi berhampiran.
Kekhuatiran mereka ditambah dengan keadaan hujan susulan musim tengkujuh ketika ini yang mungkin mengalirkan air yang dicemari ke sungai yang digunakan penduduk kampung berdekatan.
Dalam pada itu, semalam beberapa pegawai dari Jabatan Alam Sekitar turun ke lokasi bagi membuat pemantauan dan mengambil sampel sisa buangan industri berkenaan untuk siasatan lanjut.
#terengganu #sisa industri #pencemaran #buang secara haram
;