Penduduk bimbang gajah liar ceroboh tanaman
Nur Fazlizai Ali
September 14, 2023 08:30 MYT
September 14, 2023 08:30 MYT
SETIU: Pekebun di tiga buah kampung di Setiu terpaksa menanggung kerugian mencecah ribuan ringgit selepas tanaman mereka diserang kawanan gajah liar.
Ia membabitkan Kampung Bukit Munduk, Kampung Hulu Sat dan Kampung Alor Lik.
Menurut pekebun Said Sulung, haiwan berkenaan dikesan memasuki kawasan kebun sejak minggu lalu dan merosakkan tanaman kelapa sawit dan pisang.
Jelasnya, mereka bukan sahaja kerugian yang terpaksa ditanggung malahan mereka juga diserbu kebimbangan dengan kehadiran gajah liar itu.
"Saya minta pihak kerajaan ambil tindakan dengan segera perkara ini sebab musnah sawit ini, mata pencarian orang kampung.
"Gajah ini sudah masuk kali ketiga jadi susah orang kampung," katanya.
Justeru itu mereka memohon tindakan yang lebih proaktif dapat diambil pihak berwajib bagi mengatasi masalah tersebut dari terus berulang.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu Loo Kean Seong berkata pihaknya kini sedang menjalankan pemantauan dan dalam proses menangkap haiwan tersebut.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak mendekati atau mengambil tindakan sendiri sekiranya terserempak dengan haiwan liar itu dan segera menghubungi pihak Perhilitan untuk tindakan segera.