Penduduk bimbang aktiviti lombong pasir di Kampung Bestari Jaya
Sinar Harian
Disember 26, 2021 10:55 MYT
Disember 26, 2021 10:55 MYT
KUALA SELANGOR: Penduduk Kampung Bestari Jaya, di sini menyatakan kembimbangannya apabila ada syarikat perlombongan pasir yang akan menjalankan aktiviti itu di kampung terbabit.
Bekas Ketua Kampung Bestari Jaya, Safari Sayuti, 64, berkata, dia bersama beberapa penduduk kampung telah bertemu dengan pihak syarikat terbabit untuk membincangkan pelaksanaan kegiatan perlombongan berhampiran di kawasan mereka.
Menurutnya, pihak syarikat memberitahu bahawa aktiviti perlombongan pasir itu didakwa telah mendapat kebenaran, namun penduduk tidak bersetuju kerana ia berisiko mengakibatkan banjir.
"Banjir besar pernah melanda kawasan ini pada tahun 1971, 1995 dan hari ini adalah yang ketiga dan paling teruk.
"Apabila ada berlaku kegiatan perlombongan berhampiran, ia sudah tentu akan merosakkan alam sekitar. Semua pasir di sekeliling kampung ini telah pun diambil sebelum ini.
"Seminggu selepas perjumpaan itu, hari ini kita lihat banjir besar yang berlaku," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini semasa Misi #BantuanBencana Sinar Harian x Rasuah Busters, pada Sabtu.
Tambahnya, walaupun operasi perlombongan di situ belum bermula, namun sekiranya hal itu diteruskan dan pasir mula dikorek sudah pastinya ia akan mengakibatkan kampung ini akan terjejas teruk.
Dalam pada itu, Safari turut menempelak beberapa pihak yang gemar mengadakan mesyuarat berhubung isu banjir berbanding menghulur bantuan dengan segera.
Katanya, isu banjir ini berlaku setiap tahun di Malaysia dan sepatutnya keperluan serta persediaan seharusnya dapat dilakukan dengan sebaiknya.
"Saya berterima kasih kepada pihak yang hadir dengan segera membantu penduduk di sini. Terima kasih juga kepada mereka yang menghulur bantuan makanan dan pakaian," ujarnya.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.