Penduduk berwaspada walaupun air telah pulih

Haider Yutim
Januari 15, 2013 17:22 MYT
Penduduk flat Ampang Hilir mula menarik nafas lega apabila kiris air yang melanda kawasan tersebut telah pun selesai.
Namun penduduk di situ masih berjaga-jaga sekiranya perkara tersebut kembali menghantui hidup mereka.
Masalah air di kawasan Lembah Klang telah memasuki minggu ketiga dengan beberapa kawasan masih lagi menunggu jawapan yang pasti daripada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).
Astro Awani membuat tinjauan untuk menemui beberapa penduduk di situ untuk mendapatkan reaksi mereka tentang keadaan yang terpaksa diharungi oleh mangsa-mangsa krisis tersebut.
Salah seorang penduduk warga emas, Zainab Latif, terpaksa hidup dalam keadaan yang amat tidak selesa sepanjang krisis itu.
Warga emas yang berusia 57 tahun itu terpaksa bergantung kepada individu lain untuk mengambil air disebabkan beliau mengidap penyakit sesak nafas.
Lebih memburukkan keadaan, beliau tinggal di tingkat lima dan tidak mampu untuk mengangkut air dari tingkat bawah ke rumahnya.
Beliau terpaksa mengupah orang lain untuk mengangkut air.
“Untuk satu tong Mak Nab bayar RM5...sehari empat tong, dah RM20. Kira la kalau seminggu dah berapa,” kata Zainab yang lebih mesra dipanggil Mak Nab.
Menurut Mak Nab, dia telah menghabiskan sekurang-kurangnya RM280 bagi mendapatkan bantuan mendapatkan air bersih.
"Mak Nab rasa susah hati sebab tidak ada air. Biar api tak ada, tak apa sebab kita boleh pakai lilin... Tapi air tu penting sangat pada kita....tu yang Mak Nab susah sangat kalau air tak ada,” katanya.
Sebagai penduduk yang sudah penat dengan krisis ini, Mak Nab berharap masalah ini tidak akan berulang lagi.
Dalam masa yang sama beliau, seperti penduduk yang lain juga, mengambil langkah berjaga-jaga dengan menyimpan bekalan air bersih untuk memastikan bekalan air mencukupi andai masalah ini berulang kembali.
Sementara itu beberapa penduduk lain turut meluahkan rintihan yang senada dengan Mak Nab.
Ada penduduk yang terpaksa mengangkut air ke atas dengan tali yang diikat pada besi balkoni seperti warga emas seperti mereka:
Razali Yahya, 57 tahun
"Harapan saya agar biar pulih cepat sebab sudah tidak tahan lagi kerana penat dengan sakit dada dan sakit kaki gaut teruk. Lepas itu kesian dengan warga emas di atas ini kan?"
Hasnah Din, 60 tahun
"Dengan cucu lagi, nak masak lagi, nak mandi lagi. Itu masalahnya. Kalau boleh cepatkanlah ada air. Kalau boleh diharap pihak-pihak lain dapat membantu kami kerana kami warga emas. Kami sudah tidak larat. Kami di rumah ini semua hendak guna air untuk memasak, minum, mandi dan dengan cucu lagi. Makcik susah hati betul.”
Halimah Ibrahim, 74 tahun
"Kalau boleh berilah (air). Janganlah benarkan krisis ini berlarutan."
#Ampang Hilir #SYABAS #Syarikat Bekalan Air Selangor
;