Penduduk berhampiran Sungai Golok di Pasir Mas perlu waspada banjir

Bernama
Disember 3, 2023 18:50 MYT
GAMBAR FAIL: Penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Golok, Rantau Panjang melakukan aktiviti harian seperti biasa biarpun beberapa kawasan tanah rendah mula dilimpahi air Sungai Golok. - BERNAMA
PASIR MAS: Penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Golok perlu sentiasa berwaspada dengan situasi banjir dan segera berpindah susulan peningkatan paras air sungai terbabit yang melebihi paras bahaya.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Kama Azural Mohamed berkata pemantauan oleh pihaknya mendapati setakat 5 petang ini, Sungai Golok di Rantau Panjang merekodkan paras bahaya dengan bacaan 10.23 meter (m).
Sungai Golok di Empangan Bukit Wong, Pasir Mas dan Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat pula pada paras waspada dengan merekodkan 17.23 m dan 2.24 m.
"Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas telah menubuhkan tujuh pasukan bagi memantau lima zon di sekitar bandar Pasir Mas, Lubuk Setol, Repek, Jeram Perdah dan Rantau Panjang.
"Pasukan itu akan meninjau kawasan yang mudah dinaiki air dan menasihatkan penduduk supaya segera berpindah sekiranya melihat keadaan semakin berbahaya," katanya kepada pemberita selepas meninjau jeti di Pangkalan Gergaji dekat Rantau Panjang, di sini hari ini.
BANJIR-POLIS (SUNGAI GOLOK) 2 (AKHIR) PASIR MAS
Kama Azural berkata pemilik kenderaan yang ingin ke Thailand juga dinasihatkan supaya meletakkan kenderaan mereka di kawasan tinggi bagi mengelak ditenggelami air.
"Berdasarkan maklumat yang kita peroleh setakat ini, tiga kereta ditenggelami air selepas pemiliknya meletakkan kenderaan di tepi Sungai Golok dan tidak sedar mengenai kenaikan paras air secara mendadak sejak petang semalam.
"Polis juga nasihatkan orang ramai supaya sentiasa memantau anak-anak terutama yang masih kecil dan elakkan daripada bermain air agar tidak berlaku sebarang insiden," katanya.
Beliau berkata setakat ini hanya Balai Polis Rantau Panjang dinaiki air sedalam 0.3 meter, bagaimanapun masih beroperasi seperti biasa termasuk menerima laporan daripada penduduk terjejas banjir.
-- BERNAMA
#Sungai Golok #waspada banjir #Polis Daerah Pasir Mas #paras air sungai
;