Penduduk bantah pembinaan kondo, bimbang keselamatan pelajar, kesesakan makin teruk
Ridauddin Daud
September 29, 2022 07:30 MYT
September 29, 2022 07:30 MYT
PUCHONG: Mereka tidak langsung menentang pembangunan.
Namun, bagi penduduk Kampung Batu 14 di Puchong, mereka tak mahu pembangunan yang ada tidak memberi manfaat kepada mereka bahkan lebih teruk, menjejaskan kehidupan seharian.
Projek baharu bakal dibina namun tidak sedikit pun mereka gembira kerana dakwa penduduk, ia hanya menambah masalah kepada masalah yang sudah ada, kesesakan jalan yang teruk.
Tinjauan Astro AWANI pada waktu puncak, ketika pelajar sekolah pulang mendapati laluan di hadapan sekolah sesak teruk dengan van sekolah dan kenderaan ibu bapa.
Menurut penduduk, keadaan jauh lebih teruk pada waktu pagi dengan sesak kira-kira empat kilometer memandangkan itulah laluan utama, itulah laluan hantar anak ke sekolah dan itu jugalah laluan pergi kerja.
Bukan sahaja kesesakan yang menjadi kebimbangan namun lebih utama adalah keselamatan pelajar terutamanya ketika datang dan pulang dari sekolah.
Itu yang dimaklumkan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Puchong, Khairul Nidzzam Khairudin yang berkongsi kebimbangan ibu bapa kepada Astro AWANI pada Khamis.
“Saya lebih utamakan keselamatan murid. Kita bayangkan, kalau projek ini diteruskan, kita boleh lihat banyak kenderaan berat akan gunakan kawasan ini.
“Pelajar sekolah menengah juga gunakan laluan ini, naik motosikal, mungkin akan membahayakan nyawa mereka. Satu lagi infra jalan dalam keadaan sekarang, sini lebar tapi depan sana dah jadi lebih sempit.
“Walaupun di sini boleh buat dua lalua tapi di sana tak boleh. Saya mewakili sekolah dan ibu bapa membantah dan berharap projek ini tidak diteruskan,” katanya kepada Astro AWANI.
Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Batu 14, Taufik Azraee pula mendakwa setakat ini terdapat enam projek perumahan bertingkat yang sudah siap di kampung tersebut.
Katanya, projek tersebut banyak menimbulkan masalah kepada penduduk kampung dengan banyak aduan diterima sebelum ini.
“Baik dari segi aduan, ketenteraman, infra, trafik dan termasuk juga masalah apabila komuniti bertingkat ini tidak boleh terima kehidupan orang kampung, bela itik pun tak boleh.
“Projek sebegini, pihak majlis (Majlis Bandaraya Subang Jaya) perlu pertimbangkan, biar seimbang dengan pembangunan yang sesuai dengan kampung.
“Paling penting, kami nak kampung ini diwartakan sebagai kampung tradisi dalam mukim Petaling,” ujarnya.
Tegasnya, dalam mukim Petaling, hanya tinggal empat kampung seperti itu dengan Kampung Batu 14 merupakan kampung terawal berbanding kampung-kampung lain.
Sementara itu, beberapa penduduk yang ditemui juga menyatakan bantahan terhadap projek tersebut dan mereka mahu rojek berkenaan tidak diteruskan.
“Sekarang pun nampak, Puchong dah sesak. Kalau ada projek, lori besar masuk, pasti sesak. Keselamatan pelajar pun kita nak jaga, bila lori besar masuk, mereka mungkin tak boleh nampak pelajar.
“Saya duduk Taman Puchong Impian 2, rumah kami pun ada sedikit keretakan. Saya takut kalau buat projek, akan jejaskan rumah kami dan kemungkinan banjir berlaku juga ada ketika projek berjalan dan ketika selesai,” kata penduduk, Titus Cheong.
Seorang lagi penduduk yang juga wakil belia, Amran Mat Nasir berkata:
“Saya wakil kepada belia kampung, kita memang bantah projek ini sebabnya keselamatan anak-anak di sini (di sekolah) dan semua di sini.
“Satu lagi sebab berlaku banjir di kawasan ini. Tiada projek pun, masih banjir dan memang teruk, banjir lumpur, banjir kilat.
“Kita nak cakap lebih tak pandai tapi kami bantah. Harap pihak berkuasa, MBSJ, jangan luluskan projek ini. Setiap kali hujan lebat pasti banjir," ujarnya.
Apa yang lebih membimbangkan penduduk, terdapat lima sekolah di kawasan berhampiran laluan utama itu, meningkatkan risiko keselamatan jika wujud projek pembinaan baharu di kawasan tersebut.
Laluan tersebut kini menjadi laluan pintas, sesak pada waktu pagi, tengah hari dan petang dan sekiranya tidak ditangani sebaiknya, ditambah pula projek baharu, kesesakannya pasti berganda-ganda.