Penduduk bandar tolak politik kaum dan agama - Kajian

Irwan Muhammad Zain
November 11, 2020 18:44 MYT
Berdasarkan kajian, Muhyiddin Yassin dan Anwar Ibrahim tidak menggunakan agama dan perkauman dalam mendapatkan sokongan dengan masing-masing memperoleh 37 dan 29 peratus maklum balas responden. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Lebih 30 peratus penduduk bandar menolak penggunaaan agama dan perkauman dalam mendapatkan identiti dan sokongan politik berbanding 67 peratus penduduk luar bandar yang menerimanya, kata kajian yang dibuat oleh firma Emir Research.
Ketika 37 peratus penduduk golongan itu menolak penggunaaan agama dan perkauman dalam mendapatkan identiti dan sokongan politik, 32 peratus lagi pula tidak pasti sementara 30 peratus bersetuju.
Sementara bagi penduduk luar bandar, 67 peratus daripada mereka bersetuju penggunaaan agama dan perkauman dalam mendapatkan identiti dan sokongan politik, 20 peratus tidak pasti dan 14 peratus tidak setuju.
Kajian yang dibuat pada suku ketiga 2020 oleh badan pemikir bebas yang memfokuskan kepada cadangan dasar strategi berdasarkan kajian yang teliti itu mendapati 41 peratus pemegang ijazah tidak setuju penggunaaan agama dan perkauman dalam mendapatkan identiti dan sokongan politik, 32 peratus bersetuju dan baki 27 peratus tidak pasti.
Manakala 39 peratus pemegang diploma tidak bersetuju, 36 tidak pasti, baki 25 peratus bersetuju dan 38 peratus yang tamat sekolah setuju selain 25 peratus tidak pasti dan baki 37 peratus tidak setuju.
Dalam kelompok responden yang menerima gaji RM1,500 ke bawah pula, lebih ramai bersetuju penggunaaan agama dan perkauman dalam mendapatkan identiti dan sokongan politik iaitu 54 peratus berbanding 44 peratus dari mereka yang memperolehi gaji lebih RM5,000 tidak bersetuju.
Responden kajian juga bersetuju bahawa Datuk Seri Azmin Ali, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Tun Dr Mahathir Mohamad menggunakan agama dan perkauman dalam mendapatkan identiti dan sokongan politik.
Sebanyak 76 peratus setuju Azmin menggunakan agama dan perkauman dalam mendapatkan identiti dan sokongan politik, Mukhriz (71%), Zahid (70%) dan Dr Mahathir (64%).
Dapatan juga mendapati, 37 peratus responden percaya bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menggunakan agama dan perkauman dalam mendapatkan identiti dan sokongan politik, manakala 29 peratus responden percaya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak melakukan perkara yang sama.
Bagi parti politik pula, 35 peratus responden percaya Parti Islam SeMalaysia (Pas) menggunakan agama dan perkauman dalam mendapatkan identiti dan sokongan politik berbanding 50 peratus respoden setuju Parti Amanah Negara (Amanah) setuju melakukan perkara yang sama.
Dalam pada itu, 54 peratus respoden percaya bahawa UMNO menggunakan agama dan perkauman dalam mendapatkan identiti dan sokongan politik.
Untuk rekod pada 2019, PAS dan UMNO membentuk kerjasama yang dinamakan Muafakat Nasional yang berjuang untuk kepentingan Islam dan orang Melayu.
#EMIR Research #Kajian #politik #PAS #Amanah #Azmin Ali #Zahid Hamidi #Mukhriz Mahathir #Mahathir Mohamad
;