Penduduk bandar lebih terkesan sambut Hari Gawai dalam normal baharu

Astro Awani
Jun 1, 2020 17:14 MYT
Penganalisis ekonomi, Dr Madeline Berma berkata, penduduk di bandar sangat terasa terutamanya apabila tidak banyak kedai dibuka namun keadaan itu tidak begitu memberi kesan kepada penduduk luar bandar. - Gambar BERNAMA
Penduduk bandar lebih terkesan menyambut Hari Gawai dalam normal baharu jika dibandingkan dengan penduduk luar bandar.
Penganalisis ekonomi, Dr Madeline Berma berkata, penduduk di bandar sangat terasa terutamanya apabila tidak banyak kedai dibuka namun keadaan itu tidak begitu memberi kesan kepada penduduk luar bandar.
“Mereka yang di bandar memang sangat terasa sebab kedai pun tak banyak yang buka. Sekarang semua buat biskut sendiri, dulu tak pandai tapi sekarang dah pandai. Merasakan perbezaan itu memang ada.
“Di luar bandar berlainan sikit sebab dalam pesta ini, bila anak-anak pulang, mereka yang bawa barangan untuk masak dan sebagainya tapi sekarang tiada. Jadi, mereka banyak masuk ke hutan mencari makanan untuk masak.
“Bagi mereka, tiada kedai tidak menjadi masalah kerana ada yang ambil barang dari kebun tapi yang penting perasaan perayaan itu tetap ada,” katanya kepada Astro AWANI.
Meskipun semuanya kelihatan baik namun Madeline menyatakan kesedihan tetap terasa apatah lagi tidak dapat merayakan hari tersebut bersama keluarga tercinta di Sarawak.
“Ramai anak-anak Iban yang berhijrah berkata, mereka hanya menghubungi keluarga melalui telefon... ramailah yang berasa sedih.
“Memanglah, orang Iban kalau kata sedih, memang sedih benarlah itu,” katanya.
#Astro #Astro Awani #bandar #Dr Madeline Berma #ekonomi #Hari Gawai #Iban #kedai #keluarga #luar bandar #pesta #sedih #telefon
;