Penduduk anggap banjir di Pitas paling buruk pernah dihadapi
Eleanor Michelle Patrick
Januari 16, 2021 18:08 MYT
Januari 16, 2021 18:08 MYT
PITAS: Rata-rata penduduk yang terjejas akibat banjir di daerah Pitas menyifatkan bencana itu adalah terburuk pernah dilalui.
Menurut peniaga, Norashikin Zainal Abidin, 28, dari Kampung Sinasak Batu, banjir itu menenggelamkan kediaman keluarganya.
"Tahun lalu ada juga banjir, tapi tidak teruk sebegitu... air hanya naik ke paras kaki.
"Tetapi pada tahun ini, habis rumah kami tenggelam," katanya.
Norashikin yang juga ibu kepada tiga anak itu berkata, mereka sekeluarga terpaksa menetap semalam lagi di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Pitas hari in kerana kediamannya mengalami kerosakan teruk.
Sementara itu, seorang lagi penduduk kampung berkenaan, Simudin Hussin, 50, berkata keadaan banjir di Pitas amat buruk jika dibandingkan pada tahun 2008 atau 2014 dahulu.
"Teruk banjir pada tahun ini, kami diminta pindah, jadi inilah keadaan kami di sini buat sementara ini.
"Pada tahun 2008 ada (banjir) dengan 2014, tapi tahun ini paling teruklah," katanya ketika ditemui di PPS SK Pekan Pitas.
Terdahulu, tinjauan di daerah Pitas mendapati banjir sudah surut dengan ramai penduduk yang sebelum ini ditempatkan di beberapa PPS sudah dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Ir Shahelmey Yahya yang turut mengadakan lawatan ke daerah itu, ketika ditemui berkata, bantuan bakul makanan akan diagihkan dari semasa ke semasa terutamanya lokasi yang terjejas teruk.
"Di daerah Pitas ini masih ada beberapa kawasan yang terputus hubungan untuk tujuan logistik.
"Jadi kita dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah Pitas telah membincangkan usaha yang membolehkan kita masuk ke kawasan-kawasan yang terputus hubungan logistik itu.
"Jadi kita ada tiga cara, satu melalui hantaran helikopter (udara), keduanya melalui sungai dan laut (bot) dan ketiga kita menanti jalan-jalan sementara, lencongan yang akan dapat dibuat dalam masa terdekat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah," katanya.
Terdahulu, Shahelmey dalam lawatan berkenaan turut berkesempatan melakukan tinjauan udara menggunakan helikopter PDRM sebelum berkunjung ke Kampung Liu, yang terputus hubungan dalam bencana banjir di Pitas.
Beliau turut diiringi oleh Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas, Datuk Ruddy Awah serta ADUN Bengkoka, Harun Durabi.
Daerah Pitas adalah yang paling terjejas akibat banjir di Sabah malah terputus hubungan beberapa hari lalu apabila banyak jalan dan jambatan utama rosak.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin dilaporkan berkata, sekurang-kurangnya sembilan lokasi dikenal pasti berlaku kerosakan yang memerlukan pembaikan segera.
#banjir
#Sabah
#pitas
#daerah terjejas
#teruk
#rumah tenggelam
#paling buruk
#sejarah
#terputus hubungan