Pendirian terhadap Palestin, reformasi PBB antara fokus Malaysia pada UNGA ke-76

Astro Awani
September 24, 2021 19:29 MYT
Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, pendirian tersebut akan disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang dijadualkan pada 25 September melalui rakaman video - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka menyentuh mengenai pendirian negara terhadap Palestin, reformasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), matlamat pembangunan lestari (SDG) serta gencatan senjata global pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-76 yang berlangsung di New York.
Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, pendirian tersebut akan disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang dijadualkan pada 25 September melalui rakaman video.
Jelas kementerian itu lagi, Perdana Menteri akan turut mengetengahkan tema "Dunia sebagai sebuah Keluarga", selain peranan "Keluarga Malaysia" yang akan bekerjasama dengan "Keluarga Dunia" dalam menguruskan, mengatasi, serta memulihkan dunia daripada pandemik COVID-19.
"Perdana Menteri juga akan melihat kepada diplomasi kesihatan dan kewujudan bersama dalam menangani cabaran ketidaksamaan, ketidakstabilan politik serta tadbir urus global," demikian menurut kenyataan tersebut pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata Sidang Kemuncak UNGA Ke-76 akan menyaksikan dua mesyuarat peringkat tertinggi, yang mana Malaysia akan diwakili oleh Perdana Menteri dan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.
Katanya, Saifuddin akan menyampaikan kenyataannya pada mesyuarat peringkat tertinggi untuk memperingati dan mempromosi Hari Antarabangsa bagi Penghapusan Senjata Nuklear Secara Total, yang dijadual pada 28 September ini, juga melalui rakaman video.
Wisma Putra menambah, Malaysia akan terus bekerjasama dengan PBB dan negara-negara anggota bagi mengatasi pandemik COVID-19, di kala PBB bertungkus-lumus menghapuskan pandemik itu, dan menghidupkan semula ekonomi global.
"Sebagai sebuah keluarga, Malaysia juga menyeru kepada semua negara anggota PBB untuk memperbaiki tekad dalam mengukuhkan kerjasama antarabangsa dan multilateralisme ke arah dunia yang aman, makmur dan mampan, di mana masyarakat dunia hidup secara bersama secara aman," katanya.
#Ismail Sabri #UNGA ke-76 #New York #Keluarga Malaysia
;