Pendirian Malaysia terhadap Gaza sama dengan negara Islam lain - PM Anwar
Khalis Khadir
Februari 5, 2025 17:08 MYT
Februari 5, 2025 17:08 MYT
GOMBAK: Pendirian Malaysia adalah sama seperti negara Islam lain mengenai situasi semasa di Gaza, Palestin.
Ringkasan AI
- Malaysia mengekalkan pendirian yang sama seperti negara Islam lain mengenai situasi di Gaza, Palestin.
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan meneliti kenyataan Presiden AS, Donald Trump, mengenai Gaza sebelum memberikan ulasan lanjut.
- Trump menyatakan ikrar untuk AS mengambil alih Semenanjung Gaza selepas rakyat Palestin dipindahkan ke negara lain, yang dianggap sebagai langkah yang bakal mengubah dasar AS berhubung konflik Israel-Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan meneliti terlebih dahulu kenyataan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkaitan Gaza sebelum mengulas lanjut.
“Kita sedang teliti, kita teliti kenyataan dulu kemudian kita akan ulas.
“Gaza yang penting, pendirian Malaysia kekal seperti mana negara-negara Islam lain, yang lain kita akan ulas kemudian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Buku Malik Bennabi Reader dan International Institute of Future Studies di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, di sini, pada Rabu.
Maklum balas itu sebagai menjawab kenyataan Trump yang menyatakan ikrar untuk AS mengambil alih Semenanjung Gaza selepas rakyat Palestin dipindahkan keluar ke negara lain.
Terdahulu, Trump menyatakan ikrar itu sebagai satu langkah yang bakal 'menghancurkan' dasar berdekad-dekad AS berhubung konflik Israel-Palestin.
Rancangannya itu didedahkan tanpa memberi butiran terperinci pada satu sidang media bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Washington.