Pendirian kerajaan mengenai LGBT berlandaskan perlembagaan, tatasusila masyarakat
Bernama
Ogos 11, 2018 20:02 MYT
Ogos 11, 2018 20:02 MYT
Sebarang pendirian yang bakal dibuat oleh kerajaan berhubung kumpulan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transeksual) adalah berlandaskan Perlembagaan Persekutuan serta tatasusila masyarakat negara ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) Dr Md Farid Md Rafik berkata walaupun kelakuan golongan berkenaan tidak sesuai dengan norma masyarakat majoriti di negara ini, tidak bermakna mereka boleh didiskriminasikan.
"Mereka juga rakyat Malaysia dan mempunyai hak yang sama dengan mana-mana rakyat negara ini, justeru kita perlu lindungi hak mereka daripada sebarang bentuk diskriminasi sama ada di tempat kerja atapun tempat-tempat lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Tautan Kasih dan Sambutan Bulan Kemerdekaan peringkat Selangor, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Baharin Idris.
Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa dilaporkan berkata golongan transgender meminta agar tidak didiskriminasi masyarakat dan mendapat layanan saksama seperti rakyat Malaysia yang lain.
Mujahid yang sebelum itu menerima kunjungan aktivis Nisha Ayub yang mewakili golongan transgender turut dilaporkan berkata golongan berkenaan perlu diberi peluang kerana mereka juga mahu menyumbang kepada negara dan menikmati akses sama rata dengan masyarakat yang lain.
-- BERNAMA