Pendirian Baru tentang tanah hak adat tidak pernah berubah
Bernama
Oktober 26, 2019 06:00 MYT
Oktober 26, 2019 06:00 MYT
Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian menafikan dakwaan di media sosial yang beliau bersetuju dengan tindakan Kerajaan Sarawak menyukat tanah hak adat (NCR) bumiputera di negeri ini di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak.
Katanya, beliau tetap dengan pendiriannya sejak dahulu lagi yang mahukan tanah NCR di Sarawak disukat di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak kerana lebih adil kepada para pemiliknya.
Menurutnya, penyukatan tanah di bawah Seksyen 18 itu memberi kelebihan kepada para pemilik di mana mereka tidak perlu membayar fi dan surat hak milik tanah dikeluarkan kepada individu serta tempoh pemilikan yang tiada had.
"Saya ingin menyatakan ini tidak betul, pendirian saya dari dulu sampai sekarang, kalau tidak ada pindaan baru Kanun Tanah Sarawak, saya tidak setuju sehingga penyukatan tanah adat di Sarawak diteruskan di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak.
"Dalam ucapan saya pada persidangan DUN Sarawak akan datang, saya akan memperjelaskan lagi perkara ini," katanya yang juga ADUN Ba'kelalan semasa berucap pada perasmian Program Jaya Desa Debak di Dewan SJKC Chung Hua Debak pada Sabtu.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau yang merupakan Ahli Parlimen Selangau dan juga Menteri Kerja Raya berkata, Betong yang terkenal dengan tanaman seperti getah, lada hitam dan kelapa sawit masih lagi menghadapi masalah infrastruktur jalan raya yang belum sempurna untuk mengangkut hasil tanaman dan memasarkannya ke luar.
Sehubungan itu katanya, rakyat negeri ini perlu bersabar dengan keadaan jalan raya sekarang kerana projek lebuh raya Pan Borneo masih lagi dalam pembinaan.
"Saya yakin perkara ini akan bertambah baik dengan siapnya jajaran Pan Borneo Sarawak dan Sarawak-Sabah Link Road kelak yang menjanjikan infrastruktur lebih baik untuk rakyat Sarawak," katanya.
Beliau berkata, kementeriannya telah memberi peringatan kepada kontraktor-kontraktor yang telibat dalam pembinaan Pan Borneo di Sarawak supaya melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sebaik mungkin.
-- BERNAMA
#ADUN
#kerajaan
#Kerajaan Sarawak
#Pan Borneo Sarawak
#Pengerusi PKR Sarawak
#PKR
#Sarawak-Sabah Link Road