Pendika sifatkan kenyataan Exco mengenai pengamal media sebagai penghinaan

Bernama
November 15, 2022 19:48 MYT
Tindakan Muhamad Jailani yang memberitahu pelabur dari Korea bahawa petugas media yang hadir dalam satu sidang media tidak fasih berbahasa Inggeris apabila tidak bertanyakan soalan lanjut, boleh disifatkan sebagai satu penghinaan. - Gambar hiasan
MELAKA: Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA) melahirkan rasa kecewa dengan kenyataan yang dibuat oleh Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, yang dilihat merendahkan pengamal media di hadapan pelabur asing dalam satu sidang media di sini hari ini.
Pengerusi PENDIKA, Amir Mamat berkata tindakan Datuk Muhamad Jailani Khamis yang memberitahu pelabur dari Korea bahawa petugas media yang hadir dalam satu sidang media tidak fasih berbahasa Inggeris apabila tidak bertanyakan soalan lanjut, boleh disifatkan sebagai satu penghinaan.
"Kita ambil maklum dengan aduan beberapa ahli berhubung kenyataan itu, dan tidak sepatutnya seorang exco kerajaan negeri merendah-rendahkan petugas media di hadapan pelabur asing, terutama pada program berkaitan usaha yang dilakukan kerajaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya beliau berharap perkara itu tidak lagi berulang pada masa hadapan, sekali gus memastikan hubungan baik antara petugas media dan kerajaan negeri, memandangkan media tidak terkecuali dalam membawa nama baik Melaka.
Terdahulu, kejadian itu dilaporkan berlaku pada sidang media sempena majlis bagi cadangan 22 kilometer sistem 'maglev' untuk menghubungkan lokasi hotspot pelancongan dan membangunkan Taman Tema Disneyland serta Disney City di Melaka.
Sementara itu Muhamad Jailani dalam kenyataan kemudiannya berkata beliau disalah faham, dan pemberita beranggapan beliau menghina, malah sehingga membawa tindakan memboikot program berkenaan.
"Saya hanya beri penjelasan pada tetamu yang menantikan soalan dalam Bahasa Inggeris dengan tiada niat penghinaan.
"Kenyataan saya adalah hendak "cover" anda semua (wartawan) agar tidak pula mereka sangka pemberita tidak berminat untuk bertanya, malah (saya) melakukannya dengan hanya bercakap dengan orang di sebelah saya," katanya.
-- BERNAMA
#PENDIKA #pengamal media #Amir Mamat #Muhamad Jailani Khamis
;