Pendigitalan tidak noktahkan ekosistem penerbitan buku fizikal - KP Pendidikan

Bernama
April 29, 2024 07:15 MYT
Menurut Azman usaha pendigitalan industri buku turut didukung oleh KPM menerusi Dasar Pendidikan Digital. - Foto fail/BERNAMA
CYBERJAYA: Inisiatif pendigitalan industri buku tidak akan sesekali menoktahkan ekosistem penerbitan buku secara fizikal malah sebagai pelengkap dalam memartabatkan industri berkenaan, kata Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan.
Berucap pada Majlis Prapelancaran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur ke-41 (PBAKL 2024) di sini pada Isnin, beliau berkata inisiatif pendigitalan itu juga dijangka membawa impak lebih besar dengan menghasilkan bank data industri buku yang lebih signifikan.
"Pendigitalan dalam industri buku bukan semata-mata mengubah bahan bacaan kepada bentuk digital, malah berupaya membantu kerajaan dan penggiat industri menggubal dasar berkaitan selain menyokong aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan aspek pembaharuan dan daya cipta," katanya.
Menurut Azman usaha pendigitalan industri buku turut didukung oleh Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi Dasar Pendidikan Digital dalam usaha kerajaan melahirkan generasi fasih digital yang berdaya saing membabitkan pendidik dan murid.
Justeru, katanya bagi merealisasikan hasrat mereformasikan industri buku negara semua pihak termasuk penerbit, penulis dan ilmuan perlu bersinergi dalam menghasilkan karya yang berkualiti serta berupaya menonjolkan kesantunan buah fikiran masyarakat Malaysia kepada dunia.
Mengenai PBAKL 2024, beliau berkata ia melibatkan penyertaan 241 pempamer dari dalam dan luar negara dan menyasarkan kehadiran seramai 1.5 juta pengunjung secara bersemuka.
PBAKL 2024 akan diadakan selama 10 hari bermula 24 Mei hingga 2 Jun di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur dari 10 pagi hingga 10 malam.
Beberapa negara Asia seperti Thailand, Filipina, India, China dan Iran akan menyertai PBAKL 2024 dengan pelbagai aktiviti menarik disediakan untuk pengunjung.
Azman berkata KPM juga akan terus menyokong PBAKL dan sebarang pesta buku serta aktiviti penerbitan buku ke arah pemerkasaan pendidikan dan memperkukuh budaya membaca rakyat Malaysia.
-- BERNAMA
#Kementerian Pendidikan #PBAKL 2024 #budaya membaca #buah fikiran
;