Pendigitalan perlu jadi asas pembangunan negara - Fahmi Fadzil

Bernama
September 25, 2023 05:15 MYT
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berucap pada majlis pelancaran Ericsson Imagine Live 2023 di sebuah hotel di ibu kota, pada Isnin. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata pendigitalan kini perlu menjadi asas pembangunan sesebuah negara ke arah memupuk antaranya aspek pertumbuhan ekonomi, inovasi serta keterangkuman kewangan.
Beliau berkata adalah penting untuk menerima pendigitalan bagi membolehkan sesebuah negara kekal kompetitif dan menambah baik kualiti hidup rakyatnya selain meningkatkan daya saing industri yang menggunakan teknologi Revolusi Industri 4.0 seperti kecerdasan buatan (AI), Internet Benda (IoT) serta automasi.
"Ini bukan pilihan yang kita ada tetapi keputusan yang perlu diambil lebih awal berbanding di kemudian hari. Teknologi tidak menunggu kita dan jika kita masih teragak-agak, pesaing kita akan dapat menghasilkan produk berkualiti tinggi pada kos lebih rendah yang mungkin menjadikan Malaysia kurang berdaya saing di pentas global.
"Pendigitalan, sebagai bahagian penting dalam rancangan pembangunan dan kedaulatan negara, adalah alat yang perlu dikuasai Malaysia untuk muncul sebagai Harimau Digital Asia serta menjadikan kehadiran kita dirasai.
"Jika kita ingin memiliki kelebihan sebagai destinasi pelaburan, kita tidak lagi boleh bertangguh untuk melabur ke arah menyepadukan teknologi ini dalam proses pembuatan kita," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran program 'Ericsson Imagine Live: Accelerating a Digital Malaysia with 5G' di sini pada Isnin.
Fahmi berkata pendigitalan juga akan menjadikan perniagaan dan pentadbiran kerajaan lebih bertanggungjawab dengan keupayaan untuk mengukur serta menganalisis data, yang memberikan pemahaman mengenai keberkesanan dasar dan strategi.
"Pendigitalan berpotensi untuk membawa industri kotej kita ke pasaran global, yang mampu meningkatkan potensi pendapatan bagi komuniti luar bandar yang lebih kecil untuk mempersembahkan hidangan istimewa tempatan kepada chef di seluruh dunia.
"Berbekalkan platform digital, perusahaan kecil dan sederhana juga mampu mendekati pangkalan pelanggan global kerana e-dagang telah merevolusikan cara perniagaan beroperasi," katanya.
Justeru, beliau berkata acara seperti Ericsson Imagine Live menggalakkan industri untuk berhimpun dan membangunkan pemahaman yang lebih baik mengenai trend global serta memacu pembangunan inovatif penggunaan dan perkhidmatan baharu 5G di negara ini.
"Inisiatif seperti ini akan terus menyokong serta meletakkan Malaysia sebagai nadi Digital ASEAN," katanya.
-- BERNAMA
#pendigitalan #asas pembangunan negara #Kementerian Komunikasi dan Digital #Fahmi Fadzil
;