Pendigitalan pacu pemulihan ekonomi ASEAN pasca COVID-19
Bernama
November 15, 2020 05:58 MYT
November 15, 2020 05:58 MYT
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) ke-19, yang diadakan sebagai sebahagian daripada Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 secara maya, akan memberi tumpuan kepada menggalakkan pemulihan ekonomi pasca pandemik di rantau ini melalui pendigitalan.
Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata melalui Rangka Kerja Pemulihan Komprehensif ASEAN (ACRF) dan pelan pelaksanaannya, ASEAN telah menggariskan beberapa strategi utama, antaranya ialah "Memacu Transformasi Digital Inklusif" untuk menangani impak yang teruk daripada pandemik COVID-19.
Strategi itu menumpukan kepada mempercepatkan transformasi digital di rantau ini dengan memanfaatkan momentum dan kepentingan transformasi digital serta merebut peluang yang banyak daripada teknologi digital untuk meningkatkan ekonomi dan masyarakat pasca COVID-19.
"Ini termasuk pendigitalan dokumen dan proses perdagangan untuk rantaian bekalan yang lancar dan tidak terganggu," katanya dalam kenyataan semalam.
Mohamed Azmin juga berkata pemulihan ekonomi pasca pandemik di rantau ini menjadi agenda utama dan telah dibincangkan dengan meluas di peringkat Pemimpin ASEAN dan Menteri Ekonomi ASEAN.
"Perbincangan membawa kepada pemeteraian Memorandum Persefahaman mengenai Pelaksanaan Langkah-Langkah Bukan Tarif bagi Barangan Perlu pada 10 Nov, 2020," katanya.
MoU itu, terdiri daripada 152 barangan keperluan yang dikenal pasti bagi kategori makanan, ubat-ubatan serta peralatan dan peranti perubatan, bertujuan memudahkan pergerakan barangan keperluan untuk memastikan rantaian bekalan yang lancar di rantau ini.
Azmin mewakili Malaysia dalam menandatangani MoU itu yang melambangkan kemajuan Pelan Tindakan Hanoi dalam Mengukuhkan Kerjasama Ekonomi ASEAN dan Kesalinghubungan Rantaian Bekalan sebagai Respons terhadap Pandemik COVID-19.
"MoU ini turut mencerminkan keazaman ASEAN untuk mengekalkan perpaduan, selain meningkatkan usaha untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi daripada impak COVID-19," katanya.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan telah diadakan secara maya dari 9 November hingga 15 November, menghimpunkan kepimpinan tertinggi dari negara-negara anggota ASEAN.
Sebanyak 10 negara anggota ASEAN dan lima rakan ASEAN-FTA yang lain iaitu China, Korea, Jepun, Australia dan New Zealand semalam telah menandatangani Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), yang telah berakhir dengan rundingan selama lapan tahun.
-- BERNAMA
#AEC
#Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN
#ASEAN
#Sidang Kemuncak ASEAN
#mesyuarat
#pemulihan ekonomi
#pasca pandemik
#COVID 19
#pendigitalan
#digital
#transformasi digital
#Mohamed Azmin Ali
#Azmin Ali
#perdagangan
#Pelan Tindakan Hanoi