Pendigitalan ekonomi bantu PKS terus bersaing - PM

Madiha Abdullah
November 7, 2020 22:09 MYT
Golongan peniaga PKS perlukan sokongan bagi memajukan perniagaan, kata Muhyiddin. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pendigitalan dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu diperkasa kerana sebahagian besar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bergantung pada sektor berkenaan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, banyak sektor ekonomi tempatan bersandar kepada PKS, sekali gus memerlukan ia diberi perhatian khusus.
"Apa sahaja dasar yang dilakukan oleh kerajaan, baik dahulu mahupun sekarang, tumpuan utama adalah memastikan sektor ini terus hidup. Jika tidak ia akan membawa kesan yang sangat besar kerana membabitkan tenaga kerja yang ramai.
"Satu perkara yang saya nak tekankan ialah pendigitalan ekonomi. Keputusan telah dibuat supaya saya mempengerusikan Majlis Digital Negara dan Revolusi Industri 4.0 untuk kita lihat dengan lebih teliti... bagaimana kita boleh percepatkan proses pendigitalan ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI Khas Bersama Perdana Menteri, pada Sabtu.
BACA: Majlis Pekerjaan tangani isu pengangguran, wujud peluang pekerjaan baharu - Muhyiddin
BACA: Kerajaan fokus bantu usahawan Bumiputera untuk seimbangkan ekonomi - PM
BACA: Pembangkang akan dipelawa bersama kerajaan dalam buat keputusan - Muhyiddin
Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata golongan peniaga dilihat begitu peka dalam usaha menambah pendapatan dan memajukan perniagaan, namun mereka masih memerlukan sokongan.
"Kita akan duduk berbincang, bagaimana kita mahu pastikan peniaga dapat merencanakan perancangan mereka dengan lebih teratur.
"Kita akan cuba kenal pasti bentuk sokongan dan galakan yang diperlukan. Paling penting tentulah connectivity Internet supaya tidak ada pihak yang ketinggalan," katanya.
#Tan Sri Muhyiddin Yassin #PM #peniaga #Perdana Menteri #kerajaan #ekonomi #perniagaan kecil dan sederhana #PKS #KDNK #Majlis Digital Negara #revolusi industri 4 0
;