Pendigitalan, automasi tawar peluang kepada negara anggota ASEAN Campur Tiga
Bernama
November 14, 2020 19:44 MYT
November 14, 2020 19:44 MYT
KUALA LUMPUR: Pendigitalan dan automasi menawarkan peluang yang besar kepada negara-negara anggota ASEAN Campur Tiga, seperti yang dapat dilihat daripada impak pandemik COVID-19.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pandemik telah mengajar negara mengenai kepentingan membina dan menambah baik infrastruktur teknologi.
"Malah, perjalanan Sidang Kemuncak ASEAN, termasuk sesi ini, merupakan bukti langsung kepada tahap impak daripada COVID-19 terhadap transformasi digital kita.
"Bagaimanapun, teknologi baharu ini turut mempunyai cabaran, termasuk keperluan kepada menangani ketaksamaan yang meningkat, lonjakan ancaman siber dan kepentingan untuk menyokong mereka yang ditempatkan semula oleh teknologi baharu, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana serta mikro (PKSM) di ASEAN," katanya dalam ucapan intervensi pada sesi Antara Muka Pemimpin ASEAN+3 dengan Wakil Majlis Perniagaan Asia Timur (EABC) secara maya hari ini.
Muhyiddin berkata Malaysia menyokong dapatan kajian daripada EABC yang dijalankan dengan kerjasama Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO) ke arah menggalakkan inovasi dan e-dagang di Asia Timur.
Katanya jelas bahawa sektor yang paling terjejas oleh pandemik, iaitu sektor yang bergantung kepada kehadiran individu, akan menghadapi perjalanan yang panjang dan sukar kepada pemulihan.
"Sehubungan itu, kami telah memperuntukkan dana untuk menggalakkan PKSM menaik taraf kepada peralatan dan sistem automasi, untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19.
"Sejajar dengan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah diminta untuk memperluaskan liputan jalur lebar bagi meningkatkan rangkaian Internet di 25 kawasan perindustrian," katanya.
Perdana Menteri berkata Malaysia akan memberi tumpuan kepada produktiviti jangka panjang melalui penggunaan teknologi terkini untuk mempercepatkan transformasi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.
Beliau berkata Malaysia mengalu-alukan kerja EABC dalam membantu memudahkan pembangunan PKSM melalui pelancaran 13 e-Buku mengenai Amalan Kastam Asia Timur pada Januari 2020, dan untuk melancarkan secara rasmi e-Buku kedua mengenai Amalan Pelaburan Asia Timur menjelang 2021.
"Kami turut berharap EABC akan terus bekerjasama dengan penggubal dasar ASEAN Campur Tiga serta menyumbang idea dan cadangan untuk masa depan rantau ini," katanya.
-- BERNAMA