Pendidikan vokasional juga tawar kerja bagus, gaji lumayan - Khairy

Astro Awani
Ogos 14, 2015 07:37 MYT
KHAIRY: Pendidikan vokasional dan latihan teknikal boleh beri peluang pekerjaan yang bagus, gaji yang lumayan dan mempunyai laluan kerjaya yang hampir sama dengan mereka yang melanjutkan pelajaran akademik ke pusat pengajian tinggi yang lain.
Ibu bapa digesa untuk mengubah persepsi negatif terhadap pendidikan vokasional sebagai salah satu pilihan melanjutkan pelajaran.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata, pendidikan vokasional turut menawarkan kerja dan gaji yang lumayan serta setanding dengan pendidikan akademik lain.
Menurutnya, kerajaan menerusi kementeriannya sentiasa berusaha membuka sebanyak mungkin peluang untuk meningkatkan kualiti tenaga kerja di Malaysia.
"Persepsi negatif mengenai pendidikan vokasional dan latihan teknikal perlu diubah terutamanya kepada ibu bapa di Malaysia.
"Hakikatnya, menerusi pendidikan vokasional dan latihan teknikal, anak mereka boleh mendapat kerja yang bagus, gaji yang lumayan malah mempunyai laluan kerjaya yang hampir sama dengan mereka yang melanjutkan pelajaran akademik ke pusat pengajian tinggi yang lain," kata Khairy semasa sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara KBS dan Mercedes-Benz Malaysia pada Jumaat.
Di bawah kerjasama itu, seramai 12 pelajar bidang automotif (penyenggaraan kenderaan komersil) berusia antara 19 dan 25 tahun dari Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) akan dipilih mengikuti latihan intensif mengenai produk dan sistem di Pusat Latihan Perantis Mercedes-Benz Malaysia.
Tidak terkecuali, tiga pengajar IKBN juga akan diberi latihan mengenai etika dan budaya industri automotif masa kini yang banyak menggunakan teknologi automasi dan berpaksikan pelanggan.
Program itu, yang diadakan dari Oktober ini hingga Januari depan, bertujuan membangunkan modal insan dan melengkapkan diri golongan muda Malaysia dengan kemahiran yang sesuai bagi memenuhi permintaan syarikat multinasional di dalam dan luar negara.
#gaji lumayan #Khairy Jamaluddin #peluang pekerjaan #pendidikan #vokasional
;