Pendidikan tidak perlu dipolitikkan - Mahdzir
Dania Zainuddin
Julai 9, 2017 22:55 MYT
Julai 9, 2017 22:55 MYT
Pendidikan tidak perlu dipolitikkan dan budaya cabar-mencabar perlu dihentikan.
Menteri Pendidikan Datuk Mahdzir Khalid menegaskan, pendidikan adalah untuk semua masyarakat, dan tidak bersetuju jika ia diputar belit.
"Dalam pendidikan, kita tidak pernah tanya ini anak siapa. Kita tidak pernah tanya adakah murid ini anak PAS, anak PAN, anak 'parti bunga', tidak ada!
"Dalam pendidikan jika murid itu mendapat keputusan yang baik, kami beri," kata Mahdzir dalam satu sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Shah Alam pada Ahad.
Jelasnya, kerajaan Barisan Nasional sememangnya sudah menyediakan pelbagai kemudahan persekolahan termasuk pemberian buku teks percuma, pengecualian yuran peperiksaan dan perbelanjaan makanan di sekolah asrama di seluruh negara.
"Kepada pemimpin-pemimpin pembangkang, carilah isu lain. Kalau nak main politik dalam negara demokrasi ini, cari isu lain.
"Janganlah guna isu pendidikan untuk dibawa dalam syarahan dan lain-lain.
"Kita sama-sama, sama ada dari pembangkang atau kerajaan, kita sama-sama faham kita mahu mendidik anak-anak di sekolah," kata Mahdzir.
Beliau mengulas manifesto pendidikan oleh parti pembangkang, Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berikrar untuk memberikan pendidikan percuma dari tadika ke peringat universiti jika memenangi Putrajaya.
Sementara itu, Mahdzir juga berkata kerajaan akan meneruskan sekolah vernakular, dan dengan peruntukan sehingga RM50 juta setahun membuktikan sokongan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada kaum di Malaysia.