Pendidikan Sivik tanggungjawab semua pihak, bukan hanya institusi - Maszlee

Bernama
Disember 12, 2019 21:00 MYT
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata pelaksanaan pendidikan sivik adalah tanggungjawab semua pihak. - Gambar fail/BERNAMA
Pendidikan Sivik yang diperkenalkan semula sejak Jun lepas di semua sekolah seluruh Malaysia dilihat telah menarik perhatian pelbagai pihak, sama ada daripada segi keberkesanannya mahupun pelaksanaan pendidikan itu.
Bermatlamat untuk membentuk masyarakat dan individu yang bertanggungjawab, prihatin dan bertimbang rasa kepada pihak lain, pendidikan sivik peringkat kebangsaan telah dilancarkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Ogos lepas.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, Sivik membawa maksud ilmu tatarakyat, atau perasaan tanggungjawab terhadap masyarakat.
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik pernah menjelaskan, pendidikan itu dilaksanakan untuk membentuk seorang warganegara yang mengetahui hak, bertanggungjawab dan berakhlak mulia bagi menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat, negara dan global.
Oleh itu, pelaksanaan pendidikan sivik ini bukan menjadi tugas institusi itu semata-mata, tetapi ia juga adalah tanggungjawab semua pihak khususnya ibu bapa dan komuniti.
Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian di Kementerian Pendidikan (KPM) Mohd Rashid Mean berkata, ini kerana nilai-nilai sivik tidak hanya terdapat dalam bilik darjah sahaja sebaliknya juga meliputi apa yang diamalkan oleh pelajar di rumah dan di luar sekolah.
Oleh itu, peranan ibu bapa serta sokongan daripada komuniti sangat penting supaya anak-anak mereka dapat mengembangkan nilai-nilai murni itu di sekolah, sekali gus membantu guru untuk memantapkan pendidikan sivik kepada pelajar.
"Contohnya, ketika kita sedang memandu kereta. Tengok sahaja macam mana mulut kita bercakap bila ada pemandu lain yang membuat satu tindakan (seperti memandu terburu-buru).
"Kita diperhatikan oleh anak-anak, dan mereka akan ikut. Sebab itu, ibu bapa perlu menjadi contoh (yang baik)," katanya semasa membicarakan topik 'Pendidikan Sivik' dalam slot Temu Bual terbitan Bernama Radio pada 21 Nov lepas.
Turut menjadi tetamu dalam dalam temu bual itu ialah Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Islam KPM Noriah Harun.
Menurut Rashid, pemugaran pendidikan sivik banyak menumpukan isu-isu semasa termasuk keselamatan jalan raya, membenci rasuah, bahaya buli, serta pencemaran alam sekitar dan ia akan sentiasa ditambah nilai setiap tahun mengikut kehendak masa kini.
Sementara itu, Noriah berkata masyarakat perlu cakna dalam memastikan amalan sivik yang diajar di sekolah diperkukuhkan di rumah dan sebaliknya, kerana tidak semua anak-anak datang daripada institusi keluarga yang kukuh.
"Sivik mengajar anak kita untuk menjadi seorang warganegara yang baik serta menjadi penyumbang dan pendominasi kepada kecemerlangan.
"Contohnya, di sekolah yang berbilang kaum perlu ada satu titik temu unsur kebersamaan dan sejagat yang boleh merapatkan mereka, dan ini boleh didapati di dalam pendidikan sivik. Kita mahu mereka bersatu hati," katanya.
Menurut Kementerian Pendidikan, pelaksanaan pendidikan sivik akan menekankan Literasi Sivik (dalam bilik darjah) dan Amali Sivik (luar bilik darjah) melibatkan pihak sekolah, komuniti, swasta dan kementerian.
Literasi Sivik adalah rangkuman pengetahuan kewarganegaraan, sosio-emosi kewarganegaraan, dan tindakan kewarganegaraan yang tersurat dalam kurikulum yang dilaksanakan dalam perhimpunan sekolah, aktiviti kokurikulum, dan program sekolah.
Amali Sivik pula memberi ruang dan peluang kepada murid untuk mengaplikasikan literasi sivik secara praktikal.
Pendidikan Sivik dilaksanakan selama sejam pada minggu keempat setiap bulan dalam waktu mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Sejarah.
Anak-anak di prasekolah pula akan diajar pendidikan sivik selama 30 minit, dan dalam masa sama, pendidikan sivik turut dilaksanakan dalam perhimpunan dan aktiviti kurikulum.
-- BERNAMA
#Kementerian Pendidikan #KPM #Maszlee Malik #Menteri Pendidikan #Pendidikan Sivik #tanggungjawab semua pihak
;