Pendidikan seksual kepada kanak-kanak perlu dilaksana dengan kaedah mudah difahami

Farhan Hakimi
Mei 24, 2024 15:45 MYT
Dr Mariani berkata, bimbingan tenaga pengajar dapat memainkan peranan yang penting untuk mereka memahami perkara tersebut.
KUALA LUMPUR: Kaedah pengajaran pendidikan seksual, terutamanya kepada kanak-kanak yang berusia antara lima hingga enam tahun perlu diterjemah dengan cara yang paling mudah difahami golongan itu.
Menurut Pakar Psikologi SEGi University, Profesor Datin Dr Mariani Md Nor, meskipun tiada jaminan keberkesanan pembentukan karakter kanak-kanak melalui pendidikan seksual, bimbingan tenaga pengajar dapat memainkan peranan yang penting untuk mereka memahami perkara tersebut.
Tambahnya, pendekatan pedagogi yang inovatif di tadika juga dapat memudahkan pemahaman golongan itu,
"Pendidikan seksual di sekolah bersama anak-anak seawal usia lima hingga enam tahun perlu diselit dengan mengambil contoh yang telah berlaku, agar dapat diteladani selain dapat memberi pemahaman kepada kanak-kanak berkenaan implikasi sekiranya mereka melakukan apa yang tidak wajar.
"Bagi saya pendidikan seksual bukan hanya di sekolah tapi juga di rumah kerana meskipun anak-anak dikelilingi ibu bapa, guru memainkan peranan sebaik sahaja mereka keluar daripada rumah," katanya.
Selain itu, beliau berkata nilai yang ditunjukkan oleh keluarga di rumah dan tenaga pendidik juga mampu memainkan peranan untuk membentuk karakter mereka.
Pandangan itu dikongsikan beliau dalam program AWANI Pagi pada Jumaat.
Pendidikan seksual kanak-kanak harus mudah difahami
#pendidikan seksual #Kanak-kanak #tadika #Dr Mariani Md Nor
;