Pendidikan Seks: Silibus ada, tetapi tidak capai matlamat - Pakar
Afiezy Azaman
Januari 21, 2019 15:25 MYT
Januari 21, 2019 15:25 MYT
Elemen Pendidikan Seks yang didedahkan kepada pelajar sekolah dalam buku teks mata pelajaran Pendidikan Kesihatan menerusi subjek Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial tidak mencapai matlamatnya.
Menurut pakar undang-undang keluarga, wanita dan kanak-kanak, Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal, hasil temubualnya dengan kanak-kanak yang terlibat dalam masalah sosial mendapati mereka tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai mata pelajaran itu serta tidak memahaminya.
“Mereka tiada sebarang maklumat apa itu Pendidikan Reproduktif, mereka tidak faham kalau mereka buat sesuatu perkara itu mereka boleh hamil dan sebagainya itu menunjukkan silibus itu ada, wujud dan diajar tetapi tidak sampai kepada matlamatnya atau tidak diajar seperti sepatutnya.
“Bagi saya silibus yang hendak diperkenalkan itu perlu ikut peringkat umur contoh dari pra sekolah sampai menengah ikut kesesuaian umur mereka supaya dapat fahami perkara seperti perbezaan lelaki perempuan, jaga kebersihan diri dan akhirnya jaga maruah dan kehormatan diri,” katanya kepada Astro AWANI, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Pengarah Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu juga berkata kursus berterusan perlu diberikan kepada pasangan yang baru berkahwin secara berterusan mengenai cara mendidik anak mengenai topik sensitif ini.
“Kita masyarakat Timur, kalau cakap pasal seks kita rasa malu dan segan untuk berbincang, tetapi sebenarnya ibu bapa wajib beri pendidikan ini kepada anak-anak kerana keluarga adalah asas pertama.
“Sekarang kursus perkahwinan kita ada, tapi kursus itu tidak ada ‘parenting skill’, kita kena wujudkan juga kursus-kursus tertentu untuk beri maklumat itu kepada ibu bapa supaya mereka bersedia bila dapat anak nanti sekaligus dapat menjaga keutuhan keluarga.
“Dalam semua gejala sosial yang ada, pendidikan agama adalah kuncinya, wajib beri anak-anak pendidikan mengenai pentingnya jaga maruah dan kesucian diri,” jelasnya lagi.
#agama
#Datuk Noor Aziah Mohd Awal
#ibu bapa
#Kanak-kanak
#keluarga
#kursus
#pelajar sekolah
#Pendidikan Kesihatan Reproduktif
#pendidikan seks
#UKM