Pendidikan Seks: Jangan disensasi, rujuk dulu Al-Quran, Hadis - Mufti Wilayah Persekutuan
Afiezy Azaman
Januari 21, 2019 15:29 MYT
Januari 21, 2019 15:29 MYT
Pendidikan Seks boleh dilaksana dan diajar kepada pelajar sekolah namun perlu mematuhi cara dan syariat Islam serta melalui perbincangan yang mendalam dengan pelbagai pakar.
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata ia harus dilaksanakan dengan penuh peradaban yang tinggi agar ia tidak menjadi satu mata pelajaran yang sensasi kepada pelajar sekolah.
“Pembelajaran adalah satu perkara yang dituntut dalam Islam. Mengenai Pendidikan Seks ini kami telah nyatakan ia tidak menjadi satu kesalahan, Cuma beberapa perkara perlu difahami.
“Pertama tahap mana bermulanya rangsangan seks itu, pada umur berapa? Kedua kita kena perincikan apa yang hendak didedahkan kepada pelajar? Adakah pendedahan itu membawa kepada rangsangan atau memahami hakikat ia diatur dengan baik mengikut fitrah dan syariat Islam?
“Ketiga, ia harus menggunakan Bahasa yang sopan dan tinggi adab tatasusilanya agar ia dapat difahami dengan baik. Keempat, cara penyampaian, isi kandungan kalau betul caranya ia akan membina dengan sebaik mungkin,” katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui di Putrajaya, Khamis lepas.
Beliau mengulas mengenai cadangan untuk memperkenalkan mata pelajaran Pendidikan Seks dalam silibus di sekolah.
Mengulas lanjut, Dr. Zulkifli menyatakan perkara itu juga perlu mendapatkan rujukan sumber Al-Quran, Hadis, sains, psikologi, biologi manusia untuk digarapkan idea dengan lebih baik.
Ditanya umur berapa pelajar perlu didedahkan dengan Pendidikan Seks, beliau berkata mereka harus diberitahu bermula mumayyiz iaitu ketika kanak-kanak mula mampu berfikir perkara yang baik dan tidak baik kepadanya.
“Bermula anak itu berumur lima atau enam tahun dah boleh beritahu mengenai perkara itu dan perbincangan bermula sedikit demi sedikit sehingga sampai kepada perbincangan yang lebih mendalam mengikut tahap umur.
“Zaman sekarang pendedahan kanak-kanak mengenai perkara ini sangat cepat melalui media massa yang moden berbeza dengan kanak-kanak waktu zaman dahulu,” jelas beliau lagi.
#Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
#Mata Pelajaran
#Mufti Wilayah Persekutuan
#mumayyiz
#pelajar sekolah
#pendidikan seks