Pendidikan satukan Malaysia dan Australia sejak berdekad lalu - Penny Wong
Ridauddin Daud
Jun 29, 2022 14:07 MYT
Jun 29, 2022 14:07 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Australia menjalinkan kerjasama dalam pelbagai aspek sejak beberapa dekad lalu namun pendidikan merupakan antara aspek paling kuat menyatukan kedua-dua negara itu.
Bahkan, Menteri Luar Australia, Senator Penny Wong berkata, Malaysia kini menjadi tuan rumah bagi bilangan tertinggi universiti-universiti Australia di luar negara.
Menurutnya, pendidikan juga menjadi asas penting buat rakyat kedua-dua negara membina rasa hormat dan persefahaman yang terjalin selama ini.
“Pada tahun 1950 apabila hubungan itu bermula, kami terus mengukuhkan kerjasama tradisional yang telah lama dibina dalam pendidikan.
“Ia adalah untuk membina hubungan dan persahabatan, untuk meningkatkan peluang yang memberi manfaat kepada kita semua.
“Malaysia kini menjadi lokasi kewujudan universiti Australia terbesar di dunia, mewujudkan hab pendidikan trans-nasional yang penting di sini, di Asia Tenggara. Universiti Monash, Universiti Swinburne, Universiti Wollongong, semuanya ada di sini.
“Peluang pendidikan menyediakan potensi yang tidak berkesudahan untuk pertumbuhan individu, masyarakat dan negara,” katanya ketika berucap semasa mengadakan pertemuan bersama wakil kerajaan, perniagaan dan masyarakat awam di sini pada Rabu.
Tambah beliau, Australia, pada masa depan mahu terus bekerjasama dengan Malaysia terutamanya dalam berdepan cabaran ketika pemulihan dari pandemik dan sekuriti makanan.
Jelasnya, kerjasama juga akan diteruskan dalam perdagangan dua hala Malaysia - Australia dalam pertanian, perikanan dan perhutanan yang menurut beliau, mempunyai potensi besar untuk berkembang.
Senator Wong mengadakan lawatan kerja tiga hari ke Malaysia bermula Selasa yang dijangka mengukuhkan lagi hubungan erat yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Australia sebagai Rakan Kongsi Strategik Komprehensif (CSP).
Semasa lawatan itu, Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Senator Wong bertemu dan bertukar pandangan mengenai pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
Senator Wong juga mengadakan pertemuan secara berasingan dengan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bagi membincangkan isu-isu berkaitan kerjasama dua hala dalam perdagangan dan pelaburan, serta pertahanan.
#Penny Wong
#Menteri Luar Australia
#pendidikan
#Saifuddin Abdullah
#Hishammuddin Hussein
#Azmin Ali