Pendidikan satu aliran hanya dibatasi persepsi, kata profesor

Hamzah Hamid
November 19, 2014 09:52 MYT
Bahasa ibunda dan budaya sesuatu kaum tidak akan terhakis dengan pelaksanaan pendidikan satu aliran. - Foto fail
Manfaat yang diperolehi daripada pelaksanaan sekolah satu medium pengajaran adalah baik untuk masa depan negara ini, kata Dekan Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Ab. Rahim Bakar.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai catatan terbaharu mantan perdana menteri, Tun Mahathir Mohamad dalam blog chedet.cc yang menyentuh mengenai aliran pendidikan negara yang antara lain dikatakan menjadi punca kepada jurang pemisahan kaum seterusnya membezakan status dan juga ekonomi.
Mahathir dalam catatan 14 perenggan itu antaranya menyebut tentang penghijrahan pelajar-pelajar mengikut aliran sekolah jenis kebangsaan.
“Dengan perkembangan ini, anak-anak daripada kaum berbeza hilang kesemua peluang untuk membesar bersama – anak Melayu ke sekolah kebangsaan, anak Cina ke sekolah rendah dan menengah Cina, dan India ke sekolah-sekolah Tamil,” kata Mahathir dalam blog beliau.
Ab. Rahim berpendapat, perkara itu terjadi apabila suatu kaum tidak mempercayai sistem atau aliran pendidikan suatu kaum lain. Dalam menjustifikasi perkara tersebut, aspek kualiti terus dijadikan pertikaian.
“Sebenarnya, kualiti yang diperolehi dalam mana-mana aliran pendidikan adalah sama. Namun, suatu yang membezakan adalah persepsi,” ujar beliau yang memahami rasional kandungan penulisan Mahathir.
Menurut beliau, jika memikirkan tentang jangka masa panjang, satu-satunya cara adalah dengan mengembalikan semula sistem pendidikan satu aliran.
“Hasrat untuk melaksanakan matlamat tersebut hanya akan tercapai dengan kekuatan politik,” kata Ab. Rahim.
Beliau menjelaskan, walaupun dalam sistem satu medium pengajaran, namun bahasa ibunda pelbagai kaum turut diajar kerana itu adalah identiti unik di negara ini.
“Pengajaran bahasa ibunda itu bukan untuk diuji dalam peperiksaan tetapi adalah sebagai cara bagi memantapkan pemahaman dan skil komunikasi pelajar dalam bahasa-bahasa tersebut.
“Jika itu terlaksana, mana-mana pelajar boleh mengikutinya berdasarkan pilihan, kerana ia sebahagian daripada proses merentas budaya,” kata Ab. Rahim.
Ekonomi berasaskan pendidikan
Begitupun menurut Ab. Rahim, pelebaran jurang antara golongan berada dan orang miskin terjadi bukan semata-mata kerana mengikuti aliran pendidikan yang berbeza, tetapi kerana realiti bahawa ekonomi itu dimonopoli satu kaum di negara ini.
Mengulas tentang kewujudan sekolah-sekolah persendirian, seperti yang disentuh oleh Mahathir dalam blog tersebut, Ab. Rahim berpendapat ia berbalik kepada soal pilihan dan mereka yang tidak mampu memasukinya bukanlah bermakna mereka tercicir.
“Siapa kata orang kurang berkemampuan tidak mendapat peluang pendidikan jika tidak memasuki sekolah jenis itu? Orang miskin juga tetap mendapat peluang yang sama.
“Masalahnya sekarang ini adalah semua ibu bapa berlumba-lumba untuk menyediakan tempat terbaik untuk anak mereka, seterusnya untuk merebut tempat di universiti semata-mata tanpa tahu matlamat,” kata Ab. Rahim.
Beliau menekankan, adakalanya kemahiran yang tinggi untuk seterusnya mengisi pekerjaan yang bergaji tinggi boleh direalisasikan tanpa melalui universiti semata-mata.
“Saya berpendapat, ramai yang masih belum jelas tentang konsep pendidikan.
“Mereka belum nampak potensi bidang pengajian politeknik atau vokasional. Bidang-bidang inilah yang menghasilkan lepasan yang mampu berdaya saing bagi mengisi keperluan bidang berkemahiran tinggi,” ujar Ab. Rahim.
#blog #Mahathir #Malaysia #satu aliran #sekolah
;