Pendidikan: Realitinya, pahit untuk ditelan, kita jauh ketinggalan - Daim

Harits Asyraf Hasnan
Ogos 5, 2019 18:56 MYT
Daim Zainuddin menyampaikan ucapan bertajuk 'Polisi Ekonomi Baharu Untuk Malaysia Baharu' pada perasmian Persidangan Antarabangsa Kebangkitan Isu Dasar Awam: Trend dan Unjuran Global, di Petaling Jaya pada Isnin. - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Dalam sistem pendidikan di Malaysia yang asyik berdebat soal tulisan jawi, penggunaan bahasa Malaysia atau Inggeris dalam pengajaran beberapa subjek, sedar atau tidak, kita masih jauh ketinggalan.
Itu realiti yang pahit untuk ditelan seperti apa yang digambarkan oleh Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin yang menyifatkan negara lain telah jauh ke hadapan dalam sistem pendidikan mereka berbanding Malaysia.
"Kita masih persoal sama ada untuk mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris sedangkan negara lain telah melaksanakan kurikulum yang jauh ke kehadapan yang memfokuskan Revolusi Industri 4.0 (IR4) demi untuk menjadikan belia mereka lebih kompetatif dan relevan di peringkat global yang bakal didominasi oleh kepintaran buatan dan robot.
"Untuk menjayakan IR4, ekonomi kita harus berasaskan ilmu pengetahuan dan di Malaysia kita gagal kerana Kementerian Pendidikan tidak tahu apakah bidang keutamaan yang harus diberikan perhatian. Kementerian Pendidikan jangan kecewakan negara ini (must not fail our nation).
"Negara lain telah jauh meninggalkan isu pengajaran mengenai penggunaan Bahasa Inggeris, Mandarin atau Bahasa Malaysia (medium pengajaran), kepada bahasa pengaturcaraan dan 'coding'," katanya ketika menyampaikan ucapan bertajuk 'Polisi Ekonomi Baharu Untuk Malaysia Baharu' pada perasmian Persidangan Antarabangsa Kebangkitan Isu Dasar Awam: Trend dan Unjuran Global, di sini hari ini.
Ketika menyampaikan ucapan tersebut, beliau turut melontarkan satu persoalan kepada para hadirin.
"Bidang seperti kepintaran buatan, data raya, robotik, rantaian logistik dan pembuatan pintar memerlukan pekerja berkemahiran, seperti unjuran Forum Ekonomi Sedunia (WEF) yang menganggarkan 133 juta pekerjaan bakal wujud seiring kemajuan teknologi.
"Jadi persoalannya, adakah kita di Malaysia bersedia untuk ini?'. Secara terus terang saya katakan... tidak. Malah, kita jauh untuk mencapainya. Kita masih lagi memikir cara pelaksanaan IR4 sementara negara lain sedang bersedia untuk IR5," tegas beliau.
#ekonomi #Kementerian Pendidikan #kerajaan #Majlis Penasihat Kerajaan #pendidikan #Tun Daim Zainuddin
;