Pendidikan perlu inklusif dan sama rata, gesa perwakilan Parlimen Digital
Nailah Huda
Julai 5, 2020 21:10 MYT
Julai 5, 2020 21:10 MYT
Majoriti perwakilan belia Parlimen Digital bersetuju bahawa sistem pendidikan negara perlu lebih inklusif supaya mudah diakses oleh golongan B40 yang sering tercicir akibat infrastruktur yang tidak sama rata.
Usul yang dibahaskan pada hari kedua persidangan parlimen secara maya itu adalah supaya satu pelan kesiapsiagaan diwujudkan untuk sistem pendidikan negara mendepani krisis COVID-19.
Hasil perbahasan itu, 88.3 peratus menyokong usul tersebut manakala 8.5 peratus yang menolak dan 3.2 peratus tidak mengundi, menurut kenyataan oleh Parlimen Digital.
“Terdapat kebimbangan berhubung akses pelajar dan guru kepada kemudahan seperti capaian internet yang mencukupi serta peranti digital untuk tujuan pembelajaran dalam talian,” menurut kenyataan tersebut.
Seorang perwakilan, Nabil Halimi sebagai wakil Shah Alam, memberi contoh dengan merujuk kepada pelajar dari Pitas, Sabah yang terpaksa memanjat pokok untuk mendapat capaian internet bagi menjawab peperiksaan dalam talian.
"Bantuan serta biasiswa kemudiannya diberikan kepada pelajar tersebut, namun hanya selepas kisahnya ditularkan. Bantuan tersebut hanya diberikan kepada seorang pelajar. Apakah nasib pelajar-pelajar lain yang menghadapi masalah sama?” ujar Nabil.
Wakil Shah Alam itu mencadangkan supaya kerajaan bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi untuk meningkatkan akses internet di kawasan luar bandar secara berperingkat.
“Sebagai pemacu kepada usahasama ini, kerajaan wajar memberikan pelepasan cukai bagi syarikat-syarikat yang menyediakan prasarana ini atas komitmen mereka memajukan kawasan tersebut,” cadang beliau.
Antara yang turut mendapat perhatian termasuk ucapan oleh perwakilan Parlimen Digital paling muda, Marscella Ling dari Bintulu yang turut ditemu bual menerusi program Awani Pagi pada Jumaat.
Marscella, 15, menjalankan tinjauan sendiri di kawasannya berhubung pembelajaran dalam talian yang dijalankan ketika sekolah ditutup dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak COVID-19.
“Berdasarkan tinjauan yang saya lakukan pada minggu lepas, 83 peratus (378 daripada 453 responden) guru mengatakan bahawa cabaran yang terbesar bagi pengajaran dalam talian adalah kekurangan sambutan dan perhatian daripada pelajar.
“Maka menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menyediakan garis panduan yang komprehensif bagi para guru dan pelajar untuk pengajaran dalam talian,” kata Marscella.
Dalam masa yang sama, kenyataan oleh Parlimen Digital turut menyentuh tentang kebimbangan dalam kalangan perwakilan susulan dihubungi pihak polis.
“Beberapa peserta telah dipanggil hadir ke balai polis untuk disoal siasat tanpa kehadiran peguam sementara yang lain pula dijemput untuk berbincang secara bersahaja,” menurut kenyataan itu.
“Parlimen Digital adalah ruang yang selamat buat anak muda untuk mendebatkan isu-isu yang melibatkan mereka serta mencadangkan idea untuk mewujudkan Malaysia yang lebih baik, tidak kira apa latar belakang mereka," kata kenyataan itu.
Namun jelas pihak penganjur, mereka sedia untuk bekerjasama bersama polis untuk sebarang siasatan.
Inisiatif parlimen secara digital itu melibatkan seramai 222 belia dan dianjurkan hasil kerjasama Undi18, Challenger Malaysia, Liga Rakyat Demokratik, dan Persatuan United Nations Malaysia.
#Dewan Rakyat
#Kementerian Pendidikan
#panjat pokok
#Parlimen
#Parlimen Digital
#pendidikan
#perintah kawalan pergerakan
#Undi18