Pendidikan perlu berteras bakat dan potensi individu, bukan secara pukul rata - Penganalisis sosiobudaya

Israr Khalid
Februari 25, 2022 13:28 MYT
Manusia dijadikan dengan pelbagai bakat yang berbeza dan ia perlu diraikan dan diperkayakan demi kebaikan agama, bangsa dan negara. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Penyeragaman dan pengklasifikasian murid dalam sistem pendidikan negara hanya akan merosakkan pembangunan manusia kepada potensi sebenarnya.
Tegas penganalisis sosiobudaya dari USCI University, Prof Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi, kepelbagaian bakat dan keupayaan individu harus diperkayakan supaya negara dapat mencapai kemajuan yang lebih menyeluruh dan seimbang.
Ketika ini katanya kita masih terbelenggu dengan sistem pendidikan zaman dahulu yang menumpukan kepada penghasilan pekerja ketika negara mahu membangun berasaskan perindustrian.
Namun hakikatnya menjadi maju itu bukan pada perkembangan dan pencapaian material, fizikal atau jasmani sahaja.
“Kita kena ambil dan didik setiap anak-anak itu dengan dia punya bakat, maknanya pembangunannya adalah untuk tengok keupayaan dan potensi anak-anak itu sendiri.
“Ini tidak, kita ambil semua kita nak seragamkan mereka macam penghasilan kasut di dalam kilang, kena ada piawaian khusus, ketat dan sebagainya.”
Bagi beliau, adalah menyedihkan apabila sistem kita mengasing-asingkan pelajar mengikut pencapaian mereka berdasarkan satu sistem penilaian yang seragam.
Kita juga katanya menanamkan pemikiran dalam minda pelajar bahawa hidup ini adalah satu perlumbaan, walhal apa matlamat yang mahu dikejar dan digapai pun tidak jelas atau tidak diketahui.
Jelasnya, tidak salah untuk menilai dan mengelaskan pelajar tetapi ia tidak perlu dizahirkan supaya tidak wujud mentaliti dalam kalangan mereka bahawa mereka di kelas depan lebih bagus dari yang lain atau mereka di kelas belakang tidak sepandai yang lain.
“Kita ini mengajar kepada satu keadaan pertandingan, berlari untuk dapatkan nombor satu tapi dapat nombor satu untuk apa, kita tak pasti.
“Idea pengklasifikasian ini adalah satu perkara yang menyedihkan dan merosakkan.”
Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru dihoskan oleh Dzulfitri Yusop. Tonton di sini:
Pembangunan pelajar perlu berteras keupayaan individu, bukan secara pukul rata - Prof. Dr. Tajuddin Rasdi
Dialog Tiga Penjuru: 'Segalanya Bermula Di Sekolah...'
#Dialog Tiga Penjuru #pendidikan #pelajar #sekolah
;