Pendidikan perlu ada kesalingan antara sains tulen dan sastera - Zambry

Irfan Faruqi
Ogos 8, 2024 09:45 MYT
KPT membuka ruang kepada orang ramai untuk memberikan maklum balas mengenai PPPTM 2026-2035.
KUALA LUMPUR: Pendidikan masa kini perlu ada kesalingan antara sains tulen dan nilai-nilai sastera serta kemanusiaan.

Ringkasan AI
  • Pendekatan Multidisiplin: Pendidikan kini menggabungkan sains tulen dengan nilai-nilai sastera dan kemanusiaan, mencerminkan trend baharu dalam pendidikan global.
  • Pengenalan STEAM: Selain STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik), elemen seni ditambah untuk melahirkan graduan yang lebih holistik.
  • Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035: Pelan baharu ini akan menggantikan pelan sedia ada dan disesuaikan dengan keperluan masa depan pelajar, industri, masyarakat, dan kerajaan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, pendekatan multidisiplin ini merupakan suatu kebiasaan baharu dalam dunia pendidikan.
“Selama ini kita belajar dan masuk ke universiti mengikut beberapa aliran. Aliran sains sosial dan sains tulen. Hari ini kita lihat pendekatan multidisiplin suatu yang biasa.
“Sebelum ini kita bercakap tentang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik). Sebaliknya, sekarang ada yang sudah mula menggunakan pendekatan melahirkan seorang jurutera pada masa yang sama ada elemen STEAM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik).
“Ada tambahan abjad ‘A’ iaitu seni. Bidang sains sosial dan sastera yang ada hubungan pembinaan kemanusia. Ini trend baharu dalam dunia pendidikan di Malaysia dan seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Pendidikan perlu ada kesalingan antara sains tulen dan sastera - Zambry
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperkenalkan Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia yang baharu (PPPTM) 2026- 2035 yang akan menggantikan Pelan Pembangunan sedia ada yang akan tamat pada tahun 2025.
Data dan laporan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia untuk Teknologi Tinggi (MIGHT), dan agensi Kerajaan lain digunakan sebagai panduan untuk Pelan Pembangunan yang baharu ini.
Aspek STEAM yang disebut oleh Zambry merupakan satu daripada tujuh fokus aspirasi bakat dalam pelan tersebut.
Menurutnya, Pendidikan tinggi pada masa hadapan perlu disesuaikan dengan keperluan yang berkembang bagi para pemegang taruhnya iaitu pelajar, perniagaan dan industri, masyarakat dan kerajaan.
“Kita kini berada dalam zaman pasca-normal di mana dunia menghadapi keadaan yang tidak ketentuan, kompleks, dan penuh dengan pertentangan. Pelajar perlu dilengkapi dengan kemahiran untuk mendepani perkara yang tidak pasti di masa hadapan,” tambah Zambry.
PPPTM 2026-2035 ini akan dilancarkan pada tahun 2025.
Agenda AWANI: PPPTM 2026- 2035: Memeta hala tuju pendidikan tinggi
#Kementerian Pendidikan Tinggi #Kementerian Pendidikan #Zambry Abd Kadir #STEM #Steam #PPPTM
;