Pendidikan mengenai rasuah kepada murid perlu dilakukan secara tersirat - Dr Mariani
Rahimah Abdullah
Februari 6, 2021 19:48 MYT
Februari 6, 2021 19:48 MYT
KUALA LUMPUR: Konsep pendidikan mengenai rasuah kalangan murid dan kanak-kanak perlu dilakukan secara tersirat berbanding pengajaran yang tersurat.
Pakar Psikologi Kanak Kanak, Datin Dr Mariani Md Nor berkata, ketika ini, tiada topik rasuah didapati dalam sistem pendidikan di sekolah.
Namun, katanya perkara itu boleh dipelajari murid-murid melalui contoh atau teladan yang cuba ditunjukkan guru-guru dan penjaga.
"Dalam memastikan masyarakat ini tidak dibelenggu dengan rasuah, anak-anak perlu dididik, anak-anak sekecil di taska dan tadika, perlu diterapkan dengan aktiviti-aktiviti yang bukan ke arah kepada rasuah.
"Kalau dalam sistem pendidikan kita di Malaysia, kita tidak ada satu topik untuk mengajar pendidikan rasuah berbeza dengan pendidikan seks itu sendiri," katanya kepada Astro AWANI pada Sabtu.
Jelas beliau, proses pengajaran dan pembelajaran sejak pra-sekolah itu termasuk memberi kefahaman melalui kaedah tersendiri dalam membezakan antara rasuah, ganjaran atau pertolongan.
"Contohnya, cikgu suka memberi sesuatu kepada anak-anak murid dan sebagainya. Jadi, di sini kita perlu bezakan di antara rasuah, ganjaran dan 'favour' itu.
"Kalau di sekolah, kita tahu di sekolah itu ada peperiksaan, dan bila ada peperiksaan ada keputusannya dan kadang-kadang guru itu bermurah hati bawa makanan dari rumah untuk dijamukan kepada pelajar dan anak-anak," kata Dr Mariani lagi.
Justeru, tambahnya pendidikan awal itu penting memadangkan rasuah perlu dielakkan dalam melahirkan generasi yang berkualiti selaras dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju.
#Astro Awani
#Malaysia
#pengajaran dan pembelajaran
#pendidikan
#Kanak-kanak
#Datin Dr Mariani Md Nor
#Pakar Psikologi Kanak-Kanak
#Rasuah