Pendidikan main peranan penting - MB N. Sembilan
Bernama
Julai 27, 2019 05:00 MYT
Julai 27, 2019 05:00 MYT
Pendidikan memainkan peranan penting dalam membentuk generasi baharu yang dapat memenuhi aspirasi dan keperluan negara pada masa hadapan, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau berkata dalam keadaan dunia hari ini yang menghadapi krisis nilai dan akhlak yang meruncing, kerajaan sedar bahawa langkah segera dan lebih proaktif perlu diambil untuk memberi penekanan kepada pendidikan yang seimbang iaitu menekankan aspek akademik, sahsiah dan kokurikulum.
Katanya, golongan pendidik tidak seharusnya menjadikan dasar pendidikan negara sebagai satu halusinasi, sebaliknya ia harus diterjemahkan dengan baik dan berkesan.
"Kejayaan guru dalam menterjemahkan dasar pendidikan negara bukan sahaja dapat membina negara malahan dapat membentuk bangsa yang mempunyai jati diri dan integriti yang tinggi.
"Visi 2013-2025 iaitu Dasar Pendidikan Negara, perlu dituruti dengan gerak kerja yang canggih, cergas dan baik agar semuanya menjadi kenyataan," katanya ketika berucap di majlis Perasmian Sekolah Kebangsaan Senawang 3 dan Penutup Program Bacathon di sini, pada Sabtu.
-- BERNAMA