Pendidikan Islam: Daurah Hadis 40 Imam Nawawi pupuk kefahaman guru

Madiha Abdullah
Julai 3, 2024 21:25 MYT
KPM berharap daurah ini akan dapat menerapkan asas kefahaman agama dan keindahan akhlak Islam yang berupaya mengangkat martabat insan dengan berpandukan kandungan Hadis 40 Imam Nawawi.
CYBERJAYA: Daurah Hadis 40 Imam Nawawi KPM Peringkat Kebangsaan 2024 yang julung kali diadakan, diharap dapat meningkatkan kefahaman guru pendidikan Islam berkaitan Hadis 40 Imam Nawawi.
Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia, Omar Salleh berkata, ini penting bagi memastikan isi kandungan hadis dapat disampaikan kepada murid dengan lebih berkesan.
Bukan itu sahaja, peserta daurah yang hadir berperanan sebagai Jurulatih Utama, sekali gus menjadi pembimbing kepada semua guru pendidikan Islam di negeri-negeri, dalam pelaksanaan aktiviti penghayatan di semua institusi pendidikan di bawah KPM.
"Kita nak supaya guru-guru kita yang akan jadi penggerak program penghayatan di sekolah dapat betul-betul memahami isi kandungan hadis itu. Kita ada 42 hadis, kalau mereka sudah menguasainya Alhamdulillah sebab mereka paling penting, mereka akan sampaikan apa yang kita hasratkan.
"Kedua kita harap peserta daurah ini, apabila balik ke negeri masing-masing, mereka akan menjadi guru yang boleh membimbing guru-guru lain atau dalam kata lain, mereka menjadi tempat rujukan guru-guru lain," katanya.
Daurah selama tiga hari itu akan diisi dengan lapan slot pembentangan Hadis 40 Imam Nawawi yang akan dikupas secara mendalam oleh pembentang yang antaranya terdiri daripada Mufti Negeri Perlis, Prof. Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM), Zamri Zainal Abidin, serta pensyarah dari institusi pengajian tinggi seperti Kolej Universiti Islam Perlis, Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin dan Mufti Negeri Pulau Pinang.
Menurut Omar, KPM berharap daurah ini akan dapat menerapkan asas kefahaman agama dan keindahan akhlak Islam yang berupaya mengangkat martabat insan dengan berpandukan kandungan Hadis 40 Imam Nawawi.
"Pertama sekali kita mengharapkan apabila dilaksanakan daurah ini guru-guru khususnya guru Pendidikan Islam yang hadir dapat memahami sebenarnya isi kandungan Hadis 40 ini.
"Apabila balik ke sekolah masing-masing, mereka dapat menerapkan kepada murid-murid, matlamat kita mahu melahirkan murid yang memenuhi ciri-ciri karamah insaniah itu dapat dijelmakan dengan sebaiknya,"ujarnya.
Jelasnya lagi, KPM telah menyiapkan 44 sekolah showcase penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di seluruh negara, yang akan menjadi rujukan dalam melaksanakan aktiviti penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di peringkat negeri melalui iklim sekolah berteraskan Hadis 40 Imam Nawawi, pelaksanaan inovasi dan perkongsian amalan terbaik, selain memanfaatkan teknologi digital dalam membudayakan aktiviti penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi.
KPM juga berusaha menjadikan setiap institusi bawah KPM seperti Institusi Pendidikan Guru, Kolej Matrikulasi, Kolej Vokasional sebagai institusi showcase.
Tambahnya, KPM juga sedang merangka pelbagai aktiviti berbentuk pertandingan bertemakan Hadis 40 Imam Nawawi, selain menyiapkan iklim penghayatan Hadis 40 di semua institusi pendidikan bagi memantapkan lagi penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi.
Tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutarakan inisiatif melalui KPM dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menerbitkan semula himpunan Hadis 40 Imam Nawawi untuk diedarkan di seluruh sekolah bagi membolehkan penghayatan hadis 40 ini bermula di peringkat sekolah lagi.
Ia disusuli dengan peluncuran Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi KPM pada 19 Ogos 2023 oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, membabitkan hanya Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).
Bermula 2024, pelaksanaan aktiviti penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi ini diperluaskan ke semua institusi pendidikan bawah KPM, merangkumi Sekolah Rendah, Sekolah Menengah, Sekolah Menengah Teknik, Kolej Vokasional, Kolej Tingkatan Enam, Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru.
Daurah Hadis 40 Imam Nawawi KPM Peringkat Kebangsaan 2024 anjuran KPM melalui Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Perlis, akan berlangsung dari 9 hingga 11 Julai 2024 bertempat di Hotel Seri Malaysia, Kangar.
Daurah itu turut mendapat kerjasama Majlis Agama Islam Perlis, Kolej Universiti Islam Perlis dan YADIM.
Ia akan disertai 250 orang peserta terdiri daripada panel penggubal Modul Edisi Kedua KPM, Jurulatih Utama negeri, guru-guru Pendidikan serta pegawai-pegawai Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan KPM.
#Daurah Hadis 40 Imam Nawawi #Kementerian Pendidikan #Pendidikan Islam #YADIM
;